1. Saya hanya menerima writ saman dari Tetuan Syazwan Hasim
& Azeel Eskandar yang mewakili Encik Mohd Haffiz bin Mohd Rasdin pada
petang 26 Jun 2022, melalui serahan tangan kepada pembantu rumah saya.
2. Saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan permohonan
untuk mengenepikan saman ini kerana ia merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah
dan cubaan untuk menghalang terdedahnya kegiatan yang menyalahi undang-undang
pihak yang masih belum ditentukan terlibat dalam kes kecurian balak di
kompartmen 25 HSK Nenggiri.
3. Tindakan saman ini adalah pra-matang memandangkan siasatan
oleh Jabatan Perhutanan dan Sprm ke atas isu tebangan balak secara haram di
kompartmen 25 dan 26 HSK Nenggiri bersebelahan dengan kawasan kerja Plaintif
adalah belum lagi konklusif.
4. Saman ini merupakan satu gangguan terhadap tugas-tugas
defendan sebagai pemimpin masyarakat dalam menjalankan tugas melindungi
kepentingan awam.
5. Saman ini boleh disifatkan menggantung diri sendiri oleh
Plaintif dan boleh menjadi pisau dua mata.
6. InsyaAllah saya bertanggung jawab di atas dakwaan dan
pertanyaan saya berkaitan kes kecurian balak di kompartmen terbabit, termasuk
dua rencana yang dirujuk.
Saya juga InsyaAllah tidak akan berganjak dalam usaha saya
menjaga kepentingan Rakyat dan Negeri Kelantan dan mempastikan semua pihak yang
terlibat di bawa ke muka pengadilan.
7. Saya tegaskan, sepanjang tulisan saya yang dirujuk dalam
saman berkenaan sama sekali tidak bersifat fitnah ke atas Plaintif.
8. Sehingga ini, tiada sebarang kenyataan penafian oleh Kerajaan
Negeri atau agensinya mengenai pemberian kontrak pembalakan, perlombongan dan
pemaju Bandar Perabot di mana Plaintif mempunyai kepentingan atau mendapat
manafaat.
9. Menjadi amalan dalam sistem demokrasi berparlimen atau dewan
undangan negeri untuk pihak-pihak yang berkaitan dengan tanggung jawab awam
memberikan makum balas atas pertanyaan, kritikan dan urusan berkaitan
kepentingan awam.
Maklum balas terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan membolehkan
urusan kepentingan awam tidak diabai, diselewengkan atau tidak menepati
kepentingan awam secara umum.
Dengan itu juga, pertikaian awam dapat dielakkan.
10. Sekian, terima kasih
Datuk Husam Musa
27 Jun 2022