SEMUANYA KERANA ATOK....JAHAT BETOI ATOK YA...MEREKA BELAJAR DARI ATOK YANG LAMA MEMERINTAH..

 

3 Ahli Parlimen Umno lompat ke Bersatu selepas PRU14 demi ‘selamatkan diri’, kata Zahid





Ahmad Zahid Hamidi (tengah) berkata, tiga Ahli Parlimen terbabit
 adalah dari Masjid Tanah, Jeli dan Bagan Serai. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiga Ahli Parlimen daripada partinya berpaling tadah kepada Bersatu sejurus selepas pilihan raya umum ke-14 untuk “menyelamatkan diri” selepas disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya faham mereka mempunyai beberapa kes yang disiasat SPRM,” kata Zahid dalam perbicaraan rasuahnya ketika disoal peguam, Ahmad Zaidi Zainal.

Tanpa menyebut nama Ahli Parlimen itu, beliau berkata, mereka dari Masjid Tanah di Melaka, Jeli di Kelantan dan Bagan Serai di Perak.

Katanya, Ahli Parlimen Masjid Tanah dipertanggungjawabkan dengan dana untuk menguruskan Puteri Umno dalam PRU.

“Sebaliknya, wang itu dipindahkan ke akaun lain untuk kegunaan peribadi,” kata bekas timbalan perdana menteri itu dalam pembelaannya berhubung penganiayaan politik dalam perbicaraannya atas dakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang.

Beliau berkata, perkara itu diketahui oleh pucuk pimpinan parti dan sayap Puteri.

Dalam kes Ahli Parlimen Jeli katanya, individu itu ialah ketua Umno Kelantan yang bertanggungjawab membawa pengundi dari luar negeri untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Kira-kira RM30 juta diketepikan, tetapi wang itu tidak dibelanjakan.”

Beliau berkata, adik Ahli Parlimen Bagan Serai yang mengurus dana pembangunan kawasan itu menyalahgunakan wang berkenaan.

“Penyalahgunaan dana itu dilakukan oleh adik dan Ahli Parlimen itu akan didakwa,” katanya selain menambah bahawa beliau mempunyai bukti berhubung dakwaan itu.

Ini disusuli bantahan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran terhadap keterangan Zahid dengan berkata, ia tidak wajar.

“Ia adalah cakap-cakap dan tidak boleh diterima kecuali mereka dipanggil sebagai saksi.”

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, Zahid perlu dibenarkan membuat pembelaannya dan memberitahu kebenaran.

“Dia hadapi tuduhan serius dan perlu diberikan ruang untuk menjelaskan pembelaannya.”

Hakim Collin Lawrence Sequerah mendapati pihak pembelaan ingin memberitahu kisahnya dan “sedikit kelonggaran perlu diberikan”.

Zahid berkata, siasatan terhadap Ahli Parlimen itu turut dimaklumkan kepadanya secara peribadi sebagai presiden Umno.

Katanya, Umno dan Barisan Nasional dijatuhkan pada PRU14 kerana partinya hanya memenangi 54 kerusi Parlimen.

Beliau berkata, BN memenangi 79 kerusi dan tidak cukup untuk membentuk kerajaan kerana sekurang-kurangnya 112 kerusi diperlukan dalam Parlimen yang mempunyai 222 kerusi.

Zahid berkata, beliau tidak bersedia membubarkan Umno, walaupun Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti itu tiada masa depan dengan “pemimpin korup” yang ditolak oleh orang Melayu. (Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu ketika itu menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14.)

“Dia turut meminta saya melompat ke sana, tetapi saya menolak,” katanya dengan menambah bahawa mereka berdua mengadakan pertemuan pada Jun 2018.

Zahid kini dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Dua belas daripada tuduhan itu membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan baki 27 dakwaan pengubahan wang.

Perbicaraan bersambung.


No comments: