PH anjur flashmob jika kerajaan tidak tarik mansuh subsidi
Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan BN – PN untuk menarik kembali pemansuhan subsidi minyak masak botol dan kawalan harga siling telur sebagaimana yang dilakukan ke atas harga siling ayam bulat.
Menurut Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH, keputuan kerajaan menarik subsidi merupakan tindakan separuh masak yang akan menyebabkan kenaikan harga barang dan kesan akhirnya akan melebarkan lagi jurang kemiskinan dalam kalangan rakyat.
“Jawatankuasa ini menggesa kerajaan memikirkan semula penarikan ini yang akan berkuatkuas pada 1 Julai dan bakal menaikkan kadar Inflasi harga barang yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, terutamanya B40,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa Kos Sara Hidup dengan itu mencadangkan harga siling ayam dan telur dikekalkan serta subsidi kepada penternak ditambah berdasarkan keadaan semasa agar bekalan stabil dan tidak terputus.
Begitu juga subsidi minyak masak botol, jawatankuasa menyeru agar ia dikekalkan dan kerajaan menetapkan mekanisme kawalan pembelian kepada semua rakyat
“Kami juga mencadangkan subsidi gas masak slider (tong gas) dikekalkan.
“Penjualan petrol RON 95 mesti dikekalkan sebagaimana di zaman Kerajaan PH tempoh hari yang berjaya menstabilkan harga pada kadar RM 2.00 seliter
“Juga cadangan menaikkan tarif air dan elektrik dihalang dan dikekalkan pada harga semasa demi kesejahteraan semua pihak,” kata mereka.
Selain itu, jawatankuasa juga mencadangkan beberapa langkah bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup secara mendadak dengan penggunaan hasil cukai secara bersasar dan efisien bagi membantu rakyat.
Kata mereka, dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah memperkenalkan Cukai Makmur dan hasilnya mestilah dikembalikan kepada rakyat.
“Kami juga menyarakan kerajaan menangguh projek-projek mega dan tidak menguntungkan dalam jangka pendek serta panjang, umpamanya MRT 3, ECRL, Bandar Malaysia (TR-Exchange) dan lain-lain.
“Mengkaji semula semua elaun-elaun CEO dan ahli-ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC, GLiC) dan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
“Cabaran kepada kerajaan juga untuk mengecilkan anggota Kabinet semasa dan menamatkan Jawatan Duta-duta Khas Luar Negara seperti Duta Khas ke India, Cina, Amerika Syarikat dan Timur Tengah,” kata kenyataan itu.
Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH turut mahu kerajaan memotong elaun Perdana Menteri, Menteri-menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri
Mereka juga mengesa kerajaan BN – PN mengurangkan segala bentuk lawatan-lawatan ke luar negara dan membatalkan peruntukan percutian Menteri-menteri Kabinet bagi tahun ini.
Bagi menguatkan lagi desakan ke atas kerajaan, jawatankuasa itu mencadangkan agar PH mengerahkan anggotanya untuk melakukan bantahan secara flashmob di seluruh negara.
“Jawatankuasa ini ingin mencadangakan kepada Majlis Presiden PH dan rakyat untuk bersama-sama melancarkan protes besar-besaran di 222 kawasan Parlimen seluruh negara atas kegagalan kerajaan membendung kenaikan kos sara hidup rakyat.
“Dengan memulakan tindakan minima seperti flashmob,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang, KEADILAN); Datuk Hj Hasanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat, AMANAH); Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin, DAP); Natrah Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN); Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah, DAP); Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu, DAP); Asmirul Anuar Aris (Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, AMANAH); Cha Kee Chin (Ahli Parlimen Rasah, DAP) dan Puan Norhayati Bachok (Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Maharani, AMANAH)