Terkini! Zahid arah MP Umno tarik sokongan ke atas Muhyiddin

 Terkini! Zahid arah MP Umno tarik sokongan ke atas Muhyiddin


KENYATAAN MEDIA

1. UMNO amat kesal dengan tindakan Kerajaan pimpinan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang mengingkari titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.

2. Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

3. Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

4. Sehubungan dengan itu, UMNO akan meminta Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin dan Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

5. Ahli-Ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

6. Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan; memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

7. Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
29 Julai 2021

No comments: