PETALING JAYA: Doktor yang direkodkan kenyataan mereka kepada polis sebelum tengah malam hingga awal pagi berikutan Hartal Doktor Kontrak berkata mereka tidak diberikan pilihan masa untuk memberikan kenyataan.
Ia jelas bertentangan dengan apa yang dinyatakan Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed bahawa kenyataan daripada doktor terbabit dibuat mengikut keselesaan mereka.
Bercakap melalui peguam mereka Asheeq Ali Sethi Alivi, beliau memberitahu kumpulan doktor itu mendakwa mereka diarahkan untuk memberikan kenyataan sebaik ketibaan polis di lokasi pada awal pagi tersebut.
“Jika benar polis bertimbang rasa dengan doktor-doktor tersebut, sepatutnya mereka harus diberikan pilihan untuk memilih masa yang sesuai untuk mereka memberikan keterangan,” kata Asheeq.
Terdahulu Arjunaidi ketika mengulas mengenai isu waktu keterangan doktor diambil di di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, kelmarin, berkata waktu itu dipilih iaitu pada tengah malam adalah untuk memudahkan para petugas sendiri.
Polis dilaporkan merekod keterangan doktor terbabit antara jam 11.45 malam hingga 3.50 pagi.
Arjunaidi dilaporkan berkata, doktor yang disoal siasat pada ketika itu kerana waktu kerja mereka adalah 8 pagi hingga 8 malam, sambil menambah bahawa tidak selesa bagi mereka untuk disoal siasat selepas bekerja kerana mereka akan keletihan.
Beliau berkata, doktor terbabit memberikan kenyataan berhubung isu pencerobohan enam orang wartawan yang mahu membuat liputan mogok di PKRC terbabit.
Asheeq berkata, apa-apa kenyataan bagi tujuan siasatan patut diambil mengikut kesesuaian masa doktor terbabit untuk mengelakkan sesuatu keterangan itu diberikan dalam keadaan tertekan atau paksaan.
“Keterangan yang diambil sewaktu lewat malam atau awal pagi adalah bertentangan dengan undang-undang dan tindakan tersebut tidak boleh dipertahankan.
“Apatah lagi dalam kes ini sewaktu para doktor itu sedang bekerja di pusat kuarantin Covid-19. KKM dan polis sepatutnya sedar dan tahu akan tekanan dan bebanan kerja yang dihadapi oleh doktor-doktor tersebut,” katanya.
Katanya, pengambilan keterangan tersebut adalah bertentangan dengan undang- undang dan satu intimidasi terhadap doktor-doktor tersebut dan polis perlu berhenti mengambil kenyataan dalam waktu ganjil seperti itu.