‘Seperti kaduk naik junjung,’ Zahid ibaratkan pemimpin batal Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong

 

Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan kenyataan Istana Negara itu, rakyat tidak perlu lagi menunggu sehingga Isnin untuk mendapat penjelasan kerajaan PN mengenai sama ada pembatalan Ordinan Darurat mendapat perkenan Agong.

PETALING JAYA: Kerajaan Perikatan Nasional dilihat melakukan “penderhakaan yang cukup besar ke atas rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja” susulan keputusannya membatalkan Ordinan Darurat tanpa mendapatkan perkenan Istana Negara, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita tidak pasti mengapa kerajaan PN sanggup melanggar keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang ke tahap itu.

“Namun timbul desas-desus kerajaan PN mahu mengelak Ordinan Darurat daripada diungkaikan di Dewan Rakyat. Seolah-olah ada sesuatu cuba diselindungi,” katanya di Facebook.

Zahid berkata, kenyataan Istana Negara yang mengesahkan Agong tidak tahu-menahu mengenai tindakan pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan PN itu sekali gus mendedahkan matlamat serong pimpinan kerajaan.

“Maka sudah terang lagi bersuluh wujud elemen “seperti kaduk naik junjung” oleh mereka yang sedang menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan ketika ini,” kata Zahid.

Beliau berkata, isu itu sekali lagi menunjukkan Umno bertindak tepat dalam menarik balik sokongan kepada ketua kerajaan PN dan menuntut perdana menteri digantikan oleh individu lain yang lebih berkemampuan.

“Ini antara sebab kita kata kerajaan PN gagal. Gagal menjaga rakyat dan negara daripada kesan buruk pandemik. Gagal menjunjung kedaulatan undang-undang dan institusi raja-raja.

Zahid berkata, susulan kenyataan Istana Negara itu, rakyat tidak perlu lagi menunggu sehingga Isnin untuk mendapat penjelasan kerajaan PN mengenai sama ada pembatalan Ordinan Darurat mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

No comments: