AGONG SAH MURKA, MAHIADDIN SAH DERHAKA DAN PN KINI SUDAH HILANG MUKA SEBAGAI KERAJAAN


Segala-segalanya kini sudah terdedah dan terserlah tanpa dapat disembunyikan lagi.Hakikat bahawa pembatalan darurat yang diumumkan Takiyuddin Hassan di Parlimen Isnin lalu dilakukan tanpa mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong terlebih dahulu sudah pun terbukti nyata sekarang ini.

Sehubungan tiada perkenan Istana Negara itu, Agong telah menzahirkan rasa dukacita atas pengumuman tersebut yang dianggap telah mengelirukan Parlimen.

Dengan ini juga terbukti tindakan Speaker, Azhar Azizan Harun membenarkan Takiyuddin menangguhkan penjelasan berkenaan perkara itu sehingga Isnin depan adalah disebabkan perkenan Agong belum lagi diperolehi.

Sebagaimana yang dijangka dan ditulis dua hari lalu, sembah perkenan terhadap Agong itu dijangka baru mahu dipohon pada Jumaat ini ketika Mahiaddin menghadap ke Istana Negara sebelum mesyuarat mingguan kabinet sepatutnya diadakan.

Begitu pun, dengan Agong sudah lebih awal berasa amat dukacita kerana dibelakangkan oleh kerajaan dengan mengumumkan terlebih dahulu pembatalan darurat sebelum perkenan diperolehi, itulah yang mendorong kenyataan media Istana Negara dikeluarkan pagi ini.

Kunci kenyataan media itu ialah Agong amat dukacita dengan tindak-tanduk Takiyuddin dan kerajaan atas tindakan mengelirukan Parlimen dan membelakangkan baginda berkaitan pembatalan darurat.

Apabila Agong berasa amat dukacita, ia bermakna baginda kini sangat murka.

Agong berasa sangat murka itu tidak lain kerana kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yasin telah bertindak kurang ajar dan derhaka dengan membelakangkan baginda selaku ketua negara.

Dalam hal ini, tanpa keraguan lagi bahawa Mahiaddin dan kerajaan PN telah sah derhaka dan merupakan penderhaka kepada Raja.

Dengan mengelirukan Parlimen mengumumkan pembatalan darurat, sedangkan Agong belum memperkenannya, kerajaan PN dan Mahiaddin adalah merupakan kerajaan dan Perdana Menteri yang penipu.

Mereka telah menipu Ahli-Ahli Parlimen, menipu rakyat dan menipu Agong.

Sesungguhnya tidak pernah berlaku sejak merdeka ada Perdana Menteri dan kerajaan bersikap derhaka dan penipu sebegini teruk kepada Raja sehingga Istana Negara sendiri menzahirkan rasa dukacita melalui kenyataan media.

Dalam keadaan ini, kerajaan PN dan Mahiaddin sebenarnya sudah tiada muka lagi untuk terus menjadi kerajaan dan mentadbir negara ini.

Mereka sudah hilang moral kelayakan untuk menjadi kerajaan dan Mahiaddin sekarang sudah boleh diumpamakan seperti seorang yang tidak lagi berpakaian sedang berjalan-jalan di khalayak terbuka.

Pilihan yang ada untuk beliau hanya satu – letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kerajaan penderhaka dan penipu ini tidak layak lagi digelar kerajaan untuk terus memerintah negara.

Kerajaan penipu dan penderhaka ini mesti dibubarkan dengan segera.

Agong juga bahkan sudah boleh menutup pintu Istana Negara untuk Mahiaddin bertemu dengan baginda mulai hari ini, kecuali untuk satu tujuan – menyampaikan surat perletakan jawatan.

Tiada ruang lagi untuk Agong selaku ketua negara yang baik dan lemah lembut ini untuk terus bekerjasama dengan Mahiaddin yang dicop sebagai ketua kerajaan yang derhaka dan penipu dalam mengurus negara.

Cukuplah juga kita sebagai rakyat setakat ini saja membenarkan Perdana Menteri dan kerajaan derhaka dan penipu ini mempermain dan membelakangkan Agong sesuka hati tanpa adab dan rasa malu sama sekali. 


(ShahbudinHusin 29/07/2021)