PM, Kabinet tiada pilihan, perlu berundur, kata peguam


Dua peguam berkata, Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya bukan sahaja menipu rakyat, tetapi juga Agong. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dua peguam berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Kabinet perlu meletak jawatan kerana mengelirukan Parlimen serta membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Perlembagaan, Dominic Puthucheary, berkata mengelirukan Parlimen adalah perkara serius dan kerajaan turut menipu Agong.

Katanya, kesalahan ini tidak boleh dikaitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan semata-mata kerana pembatalan itu dibuat atas nama kerajaan.

“Oleh itu, ia adalah tanggungjawab bersama. Ini bermakna perdana menteri dan seluruh Kabinet terbabit.

“Isu darurat sangat penting. Ia salah satu peruntukan paling luar biasa dalam Perlembagaan dan perlu dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab. Jika kerajaan gagal melakukannya, maka mereka bertindak secara tidak jujur dan perlu meletak jawatan,” katanya kepada FMT.

Puthucheary, yang menyifatkan Muhyiddin sekadar perdana menteri de facto, berkata jika beliau gagal bertindak secara terhormat dan meletak jawatan, Agong boleh menarik balik pelantikannya.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan kerajaan “sama sekali tidak menghormati” Agong, Perlembagaan Persekutuan, Parlimen dan rakyat.

Katanya, tindakan itu sama dengan penyalahgunaan kuasa kerana ia mengelirukan Dewan Rakyat dan rakyat.

“Persoalan mengenai majoriti kerajaan menjadi isu sampingan, kini Parlimen bersidang dengan mengabaikan Perlembagaan dan Agong sepenuhnya.

“Tiada pilihan lain kecuali untuk perdana menteri dan kerajaan berundur. Ini satu-satunya keputusan betul,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Istana Negara berkata, Putrajaya tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat apabila Takiyuddin mengumumkan pembatalan itu Isnin lalu.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kenyataan Takiyuddin di Parlimen Isnin lalu tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

No comments: