KUALA LUMPUR: Kediaman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan petugas media susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat hari ini.
Petugas media dilihat mula “berkampung” di rumah perdana menteri yang terletak di Bukit Damansara, di sini, sejak 1 tengah hari tadi.
Pemerhatian Bernama mendapati beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri dan Peguam Negara memasuki perkarangan kediaman itu kira-kira 1.30 tengah hari.
Dalam kenyataan Istana Negara tadi, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin lalu yang kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal ia belum diperkenan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Agong juga amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara, Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkai tidak dilaksanakan.