MP, aktivis buat laporan polis, kerajaan gagal lindungi rakyat dari Covid-19 FAZLI RADZI / July 25, 2021

 


Tujuh Ahli Parlimen dan dua aktivis membuat laporan polis hari ini berhubung kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengawal pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen terbabit ialah Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut), Aziz Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah (Kota Belud), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Charles Anthony Santiago (Klang) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Kesemua wakil rakyat blok pembangkang terbabit dari PKR, DAP dan Warisan.

Sementara itu, dua aktivis yang turut serta membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu ialah peguam Ambiga Sreneevasan dan anak Tun Dr Mahatir, Marina.

Memetik laporan polis yang dikemukakan oleh Maria Chin sebagai pengadu, pihak polis diminta menyiasat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ekoran pertambahan kes positif Covid-19 dan kematian akibat wabak itu.

Beliau juga memohon pihak polis menyiasat mana-mana menteri yang dipertanggungjawabkan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut berasaskan Seksyen 259 dan Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Ini kerana saya mendapati wujud kecuaian jenayah dalam menjalankan tugas-tugas menteri sehingga mengakibatkan penularan wabak Covid-19 dalam komuniti yang membahayakan nyawa serta mengakibatkan kematian,” tegas Ahli Parlimen PKR itu.

Jelasnya, antara contoh kecuaian Adham dan menteri-menteri lain sehingga jangkitan Covid-19 gagal dikawal ialah jumlah ujian saringan yang tidak mencukupi serta proses mengesan kontak rapat yang tidak efektif mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Fahmi (depan) selaku ‘tuan rumah’ dalam rombongan MP dan aktivis membuat laporan polis hari ini.

No comments: