Mengarut usul Anwar ditolak kerana dihantar terlalu awal
Kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun menolak notis usul perbahasan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan alasan terlalu awal dihantar dianggap mengarut.
Anwar dalam satu komen dipetik The Vibes menegaskan alasan tersebut sebagai ‘tidak masuk akal’.
“Speaker ini bertindak atas perintah eksekutif dan tidak menghormati hak kami untuk berdebat mengenai usul substantif.
“Ini adalah keputusan yang tidak masuk akal, yang dirancang untuk melindungi pemerintah dari menjawab pertanyaan mengenai pengurusan pandemik dan pelan pemulihan nasional,” katanya.
Dalam suratnya kepada Anwar semalam, Azhar menjelaskan notis untuk persidangan khas Dewan Rakyat dikeluarkan pada 15 Julai dan usul Anwar pula diserahkan pada 12 Julai.
Oleh itu, katanya usul Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan tiada dalam kertas pesanan kerana dikemukakan sebelum pemberitahuan.
Untuk rekod, dalam peraturan biasa dewan notis usul boleh dikemukakan sebulan sebelum sidang bermula. Notis tidak terikat kepada tarikh surat pemberitahuan atau jemputan menghadiri sidang kepada Ahli-ahli Parlimen.