Kenapa Dr Razali Nawawi menitis air mata ketika mempertahankan
perjuangan sahabatnya Anwar Ibrahim, semasa peluncuran buku beliau Erti
Kehidupan, Rabu lalu?
Generasi muda yang tidak mengenali perjuangan Abim (Angkatan
Belia Islam Malaysia ) wajar membaca buku ini dan buku sebelumnya, Erti
Perjuangan untuk mencari jawapannya.
Dr Razali seorang ilmuan yang mendapat pendidikan di Mesir dan
United Kingdom. Beliau terdedah dengan tradisi Ilmu Islam dan juga Barat,
menjadikan beliau seorang cendekiawan, ilmuan, profesor dan pendakwah yang
mantap
dan berani memperkatakan kebenaran dan menyanggah kemungkaran.
Ustaz Razali, Fadhil Nor, Anwar dan Ustaz Siddiq Fadhil adalah
antara empat tokoh yang menjadi tulang belakang Abim sejak penubuhannya pada
tahun 1971 hingga hari ini.
Di antara empat mereka hanya Anwar seorang yang berpendidikan
aliran Inggeris. Bagaimanapun minat Anwar terhadap Islam berakar sejak menjadi
mahasiswa lagi.
Ketika menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia pada usia 21 tahun ( 1968-1971) Anwar berpeluang menjalin persahabatan
akrab dengan pemimpin dan ilmuan Islam seluruh dunia.
Hampir semua ilmuan Islam di Malaysia menjadi naqibnya bagi
mendalami tarbiah Islamiah.
Syed Naquib, Kamal Hassan, Ustaz Razali. Fadzil Nor, Nik Aziz
dan ramai lagi tok tok guru pondok semuanya menjadi guru dan sahabat beliau.
Di peringkat serantau beliau banyak belajar daripada Bapak
Mohammad Natsir, Hamka dan ramai lagi sasterawan dan budayawan Indonesia.
Apabila Ikatan Cedekiawan Muslim Indonesia ditubuhkan Anwar menjadi akrab
dengan Bacharuddin Jusuf Habibie dan hampir seluruh anggota Kabinet Soeharto.
Barangkali tidak ramai yang mengetahui Anwar pernah bermalam di
rumah Hassan al Turabi dan Cesar Adib Majul penulis buku The Contemporary
Muslim Movement In Philippine. Persahabatan dengan Majul menghubungkan Anwar
dengan pemimpin dan pejuang Islam di Filipina.
Begitulah aktifnya Anwar menimba ilmu sehingga akirnya beguru
dengan Said Ramadan ( Bapa Tariq Ramadan), Ismail Faruqi, Yusof Qaradhawi, Sheikh
Taha, Rashid Ghannushi dan ramai lagi nama nama besar pemimpin dan ilmuan
Islam.
Tarbiah melalui persahabatan inilah yang membentuk keperibadian
Anwar sebagai seorang pemikir dan pejuang Islam yang kental dan tidak mengalah
dengan ujian.
Dengan asas asas al Quran, Hadis dan seerah yang kukuh
membolehkan Anwar membicarakan soal keadilan dan hak ummah dengan berani dan
tegas.
Kekuatan inilah yang menyebabkan Mahathir Mohamad memujuk beliau
menyertai Kabinetnya untuk melaksanakan agenda penerapan nilai nilai Islam di
awal tahun 1980an.
Mahathir ketika ditanya wartawan mengapa melantik Anwar menjadi
Menteri Kewangan menggantikan Daim Zainuddin, berkata,
“Saya melantik Daim kerana beliau pandai soal kewangan, dan saya
melantik Anwar kerana beliau orang yang jujur, pandai dan amanah”.
Kerana jujur dan amanah menjaga perbendaharaan negara Anwar
meninggalkan legasi sebagai Menteri Kewangan yang mencatat lebihan bajet selama
tujuh tahun berturut-turut.
Malangnya apabila negara menjadi maju dan kaya, sementara nafsu
Mahathir menjadi besar maka akhirnya kerana mempertahankan keluhuran prinsip
perjuangannya, Anwar dikorbankan oleh Mahathir melalui fitnatul kubra.
Ketika menjadi Menteri Kewangan, keberanian dan ketegasan Anwar
membanteras rasuah dan salahguna kuasa sering dilaungkan.
Melihat TV atau media cetak ketika itu, gambar Anwar dengan
kening melengkung adalah trademark ekspresi ketegasan beliau bila menyebut “
kerajaan akan mengambil tindakan tegas, kerajaan tidak akan berkompromi dengan
rasuah dan penyalahgunaan kuasa”.
Dalam satu pertemuan, saya menegur Anwar bahawa kamu sekarang
ahli politik, kamu bukan PM lagi janganlah keras sangat.
Beliau menjawab;
“Aku Menteri Kewangan, aku tahu apa yang mereka buat. Aku akan
terus bercakap hal ini kerana ia akan mengingatkan aku juga supaya jangan
rasuah dan salahguna kuasa “.
Inilah susuk perjuangan Anwar yang jarang ditemui dalam politik
Malaysia. Kekuatan peribadi beliau menakutkan pemimpin lain.
Kalau kita meninjau sejarah perjuangan sebelum merdeka, nasionalis
Melayu seperti Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji
Muhammad memiliki kekuatan seperti Anwar yang tahan diuji.
Mereka Ini semua dipenjara oleh Inggeris dan paling lama ialah
Boestaman selama tujuh tahun.
Malang bagi Anwar kerana berjuang selepas merdeka beliau
dipenjarakan oleh bangsanya sendiri hampir sebelah tahun.
Kalau dihitung jumlahnya agak pasti kerajaan Umno yang diberi
kemerdekaan oleh Inggeris memenjarakan lebih ramai anak bangsanya sendiri berbanding
penjajahan Inggeris selama 150 tahun.
Anwar jauh berbeza dengan pemimpin pemimpin politik lain. Beliau
jarang menyebut nama parti nya ketika berucap. Jauh sekali memuji dan menjulang
partinya seperti Pas dan Umno.
Parti hanyalah platform perjuangan dan yang penting ialah nilai,
akhlak dan jiwa pengabdian pemimpin untuk membela bangsanya.
Rakyat yang peka pasti sedar bahawa ucapan Anwar sarat dengan
idealism seorang negarawan untuk mengangkat maruah dan martabad seluruh warga
Malaysia.
Anwar selalu mengungkap “ kita akan perjuangan keadilan untuk
semua”. Dia gemar menggunakan perkataan “ kita” atau “ Saya”. Jarang sekali
beliau menggunakan ungkapan “ PKR atau PH akan menentang rasuah, membantras
kemiskinan “. Mungkin beliau sedar dalam PKR dan PH tidak semua bersih daripada
kemungkaran.
Sebaliknya pemimpin Pas dan Umno jarang menggunakan ungkapan
“Kita atau Saya”. Hampir semua mereka akan menggunakan nama parti. Baik Hadi
Awang atau Presiden Umno, setiap kali berucap akan menyebut nama parti berulangkali
seperti “ Umno tidak akan gadai maruah Melayu. Umno pembela bangsa Melayu, Umno
berjasa kepada Melayu, dan yang terakhir ialah slogan “Perjuangan Umno untuk
mencari keredaan Allah”.
Manakala Hadi Awang dan pemimpin Pas yang lain mungkin sudah
beribu kali melaungkan “Pas akan pertahankan Islam, Sokong Pas masuk syurga,
Pas akan laksanakan hudud, Pas berjihad di jalan Allah, semuanya Pas Pas Pas.
Jarang sekali kita dengar Hadi mengungkap “ Saya akan pastikan
rakyat miskin dibela, saya akan minta kerajaan biayai ibu tinggal atau Saya
akan siasat kenapa ramai orang Melayu bunuh diri sekarang.”
Manakala Pemimpin Bersatu pula oleh kerana kurang bercakap dan
menemui wartawan, sukar untuk kita meneka apa yang difikirnya.
Perbezaan ucapan mungkin tidak disedari atau dipandang ringgan
sedangkan ucapan pemimpin adalah pengukur sama ada beliau seorang pejuang yang
akan mengabdikan dirinya untuk rakyat, ikhlas dan istiqamah dengan prinsip
perjuangannya atau sekadar politikus yang mencari kuasa dan harta.
Anwar memiliki kekuatan peribadi, Ilmu dan jiwa patriotik yang
tidak bersandar kepada partinya, sebaliknya PKR yang bersandar kepada kekuatan
Anwar.
Berbeza dengan pemimpin parti lain mereka terpaksa bersandar
atas nama parti, sejarah perjuangan atau legasi parti kerana tidak memiliki
kekuatan peribadi.
Oleh kerana ucapan Anwar tidak banyak menyebut Melayu dan Islam,
sementelahan pula berkawan dengan DAP, maka barangkali itulah orang Melayu,
terutama generasi tua tidak begitu mencintai Anwar.
Walaupun memiliki kekuatan peribadi namun beliau juga mempunyai
kelemahan. Kelemahan paling keketara ialah Anwar berprasangka baik dengan semua
orang. Kelemahan inilah yang menyebabkan beliau ditipu berulangkali.
Bukan saja Ustaz Razali malah ramai lagi sahabat dan rakyat yang
menghayati sejarah perjuangan Anwar, menitis air mata ketika dia difitnah dan
dipenjara.
Bagi saya dan rakan lain tetap akan bersama Anwar kerana
menyokong pemimpin yang bersih, jujur dan ikhlas kita akan selamat daripada
kehinaan di dunia dan akhirat biarpun perjuangan ini tidak berakhir dengan
kemenangan.
Harga diri seseorang bukan terletak kepada apa yang boleh
dipandang mata, tetapi terletak kepada keikhlasan, keimanan dan jiwa hamba yang
insaf dengan keberadaannya.
Amer Farhan