Ustaz ini tempelak orang heret agama untuk tutup kesalahan

 


Ustaz ini tempelak orang heret agama untuk tutup kesalahan


Selain adegan air mata, saya terbaca beberapa ungkapan yang diguna bertujuan mengalih aliran perbahasan daripada laluannya dalam isu ketelusan dan akauntabiliti organisasi orang Islam.

– Kita bersaudara, cukup-cukuplah.
– Sesama Islam, tak elok berbalah.
– Asalkan buat baik, teruskan.
– Kedua-duanya Islam.
– Semua pihak mahu buat baik.
– Jangan sampai kafir tepuk tangan.
– Kafir tak gaduh pun sama sendiri.
– Orang Gaza tu orang Islam juga.

Semasa isu TH mula-mula panas dulu, ada ungkapan, “Tak apalah, jika dia salah pun, dia orang Islam juga”. Ada yang sebut “TH tu milik orang Islam, untuk apa orang Islam berbalah sesama sendiri”.

Dalam kalangan sebahagian orang Islam, apabila isu-isu ketelusan dan akauntabiliti diketengahkan, akan ada orang Islam yang mengheret sentimen agama dan kaum untuk mencelahi perbahasan itu.

Lantas sentimen itu pun diguna sama ada untuk mengelabui atau menutup penyelewengan dan salah urus organisasi milik orang Islam. Natijahnya, orang yang malas berfikir berkata, “Betul juga. Kalau mereka buat salah pun, mereka orang Islam”.

Sampai ada yang sanggup berkata, “Biarlah dia nak buat macam tu. Kalau dia kaya kerana hal itu pun apa salahnya. Dia orang Islam juga. Harta dia pun diguna untuk bantu orang Islam”.

Ungkapan itu terus digaul perencah tambahan untuk lebih menambah enak rasa sehingga ada ulama berkata, “Orang Islam, buat salah sebesar mana pun, mati akhirnya masuk syurga juga.”

Semua ungkapan sebegitu tidak salah, cuma diguna dalam situasi yang salah. Ibarat seseorang yang membaca doa naik kenderaan semasa berada di hadapan hidangan.

Bak kata Bang Mat, kita bukan berhadapan dengan masalah kejahilan tentang agama sebab kita ada ramai ulama. Masalah kita ialah, kita gagal meletakkan agama di tempat yang betul sehingga agama yang murni ini dipandang serong.

Ustaz Zolkharnain Abidin

No comments: