Agensi
Julai 23, 2021
Dua dos vaksin COVID-19 Pfizer atau AstraZeneca hampir sama berkesan terhadap varian Delta seperti mana ia berkesan terhadap varian Alpha. - Foto REUTERS
LONDON: Dua dos vaksin COVID-19 Pfizer atau AstraZeneca hampir sama berkesan dalam melawan varian Delta seperti mana ia berkesan terhadap varian Alpha, lapor agensi berita Reuters yang merujuk kepada kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.
Bagaimanapun kajian itu menyatakan vaksin itu tidak cukup berkesan untuk memberikan perlindungan yang tinggi dengan hanya satu dos suntikan.
Kajian itu mengesahkan penemuan yang diterbitkan Public Health England (PHE) pada Mei lalu tentang keberkesanan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Oxford-AstraZeneca, berdasarkan data dunia nyata.
Kajian itu turut mengesahkan dua dos Pfizer berkesan untuk mencegah penyakit simptom dari varian Delta sebanyak 88 peratus, berbanding 93.7% terhadap varian Alpha, secara umum sama seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Dua dos vaksin AstraZeneca berkesan mencegah simptom varian Delta sebanyak 67 peratus, meningkat daripada 60 peratus yang dilaporkan sebelum ini, dan 74.5 peratus berkesan terhadap varian Alpha, berbanding dengan anggaran keberkesanan sebelum ini 66 peratus.
PHE sebelumnya mengatakan bahawa dos pertama dari salah satu vaksin adalah sekitar 33% berkesan terhadap penyakit simptom dari varian Delta.
Kajian penuh yang diterbitkan pada hari Rabu itu mendapati bahawa satu dos suntikan Pfizer adalah 36% berkesan, dan satu dos vaksin AstraZeneca sekitar 30% berkesan.