Sumbangan program Makanan Asas di Ranting KEADILAN Ampang

 



Beberapa Ranting KEADILAN di Parlimen Ampang mengagihkan bantuan Makanan Asas baru-baru ini sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.

Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, bantuan Makanan Asas diagihkan secara ‘touch & go’ memandangkan PKP 3.0 telah berkuatkuasa pada 7 Mei.

Katanya, sebanyak 80 set sumbangan makanan asas telah diedarkan kepada penduduk di pintu masuk berdekatan blok D Flat Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang.

"Ramai yang terkandas apabila pengumuman PKP 3.0 dibuat mendadak. Program ini disasarkan kepada keluarga muda dan mereka yang tidak dapat balik ke kampung tahun ini.

"Pek sumbangan mempunyai makanan asas seperti mi segera dan susu, berserta ubat paracetamol yang amat berguna untuk kegunaan kecemasan. Dalam pek makanan juga mengandungi risalah untuk menggalakkan pendaftaran vaksin Covid 19," katanya.

Turut serta dalam program itu adalah Ketua Ranting Ampang Campuran, saudara Sunder dan Ketua Ranting KEADILAN Taman Kosas, saudara Harjit Singh.

Harjit berkata, PKP kali ini telah menyebabkan lebih ramai lagi kehilangan sumber pendapatan.

"Kita tidak boleh lagi beraya dengan mewah seperti dahulu. Walaupun dengan makanan asas, saya berharap sedikit sebanyak kami boleh mengurangkan beban keluarga," katanya.

Ketua Kampung Kuala Ampang, Patrick Ang yang juga Ketua Ranting di situ juga terlibat dalam agihan sumbangan golongan asnaf


Andre menyampaikan bantuan di rumah anak yatim

Sebelum ini, beliau telah membuat sumbangan Ramadan kepada penduduk-penduduk beragama Islam yang menetap di sekitar Hulu Kelang.

"Walaupun Kampung Kuala Ampang merupakan pertempatan kaum Cina, KEADILAN tidak meminggirkan sesiapa juga dalam hal-hal kebajikan," katanya.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai turut sering ke Ampang untuk menjalankan program-program kebajikan.

Andre melawat Rumah Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu di Kampung Lembah Jaya Selatan dan memperuntukkan sumbangan kewangan serta makanan asas kepada 65 kanak-kanak yang menetap di sana.

“Sumbangan ini merupakan tanda keikhlasan KEADILAN untuk meraikan Hari Raya dengan bermakna di Ampang, tempat saya membesar.

"Saya amat berterima kasih kepada semua rakan-rakan seperjuangan di Ampang yang tidak pernah leka dalam agenda reformasi sepanjang satu tahun pandemik ini,” katanya.