Wad ICU hampir penuh, KKM rayu rakyat patuhi SOP


Kementerian Kesihatan berkata, semua katil di hospital hampir penuh dan mencapai kapasiti maksimum. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merayu rakyat mematuhi SOP kerana kapasiti katil hospital di seluruh negara kini hampir penuh.

Sambil berkongsi gambar wad unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Kajang, KKM dalam catatan Facebook malam ini berkata, Hospital Ampang, Selayang, Sungai Buloh dan hospital Covid-19 lain turut menghadapi keadaan sesak.

“Inilah keadaan sebenar dalam wad ICU ketika ini. Semua katil yang ada di hospital hampir penuh dan mencapai kapasiti maksimum.”

Pun begitu, KKM berkata, sistem kesihatan negara belum sampai tahap perlu memilih siapa yang akan dimasukkan ke ICU.

Petugas barisan hadapan, katanya, kekal di wad ICU untuk merawat pesakit kritikal dan meneruskan tugas harian seperti biasa ketika Hari Raya.

“Cuma satu saja yang dipinta daripada seluruh rakyat Malaysia, patuhlah peraturan yang ditetapkan.

“Jaga diri, jaga keluarga kita. Jangan biarkan keluarga kita menjadi salah seorang yang berada di wad ICU ini.”

Hari ini, KKM melaporkan 4,113 kes baharu Covid-19 dan 34 kematian.

Seramai 41,471 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 250 daripada 482 pesakit di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

No comments: