PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa mempersoalkan kehilangan suara tegas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang dalam isu serangan Israel ke atas Palestin.
Sebagai duta khas, katanya, Hadi perlu membawa suara Malaysia.
“Semasa Pakatan Harapan dahulu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad memimpin usaha membawa suara umat Islam dari tiga negara besar Islam, Turki, Pakistan dan Malaysia.
“Kini lesu sebab Perikatan Nasional (PN) tidak ada mandat dan kerajaannya lesu. Kami akan terus bersuara,” katanya kepada FMT.
Naib presiden Amanah itu menggesa Putrajaya bertindak proaktif dalam menekan Israel dan negara lain untuk menghormati perjanjian antarabangsa demi membela hak dan nasib rakyat Palestin daripada kekejaman rejim Zionis.
Beliau turut menggesa Israel berhenti melakukan pengusiran sistematik di Syeikh Jarrah dan memasukkan penempatan Yahudi secara haram.
“Hentikan sekatan perkara asas seperti air, elektrik dan bekalan makanan ke atas Gaza dan Tebing Barat. Ini soal kemanusian dan perkara asas kehidupan. Malaysia perlu bertindak.”
Sejak Isnin lalu, pertempuran antara Israel dan Palestin di Semenanjung Gaza semakin memuncak sehingga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi amaran peperangan besar-besaran bakal berlaku.
AFP melaporkan 126 orang terkorban, termasuk 31 kanak-kanak dan beberapa pemimpin Hamas, manakala 950 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Gaza.
Di Tebing Barat, 11 orang terbunuh pada Jumaat akibat serangan Israel.
Siri keganasan itu meningkat berikutan tindakan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.