Jangan pandang ringan amarah orang muda, kata pakar kepada Putrajaya

 

Tunjuk perasaan disertai belia yang berlaku di Parit Raja, dekat Batu Pahat, Johor pada malam Hari Raya Aidilfitri.

PETALING JAYA: Pakar mengingatkan Putrajaya untuk mengambil perhatian terhadap kemarahan dalam kalangan belia yang semakin memuncak kerana pengangguran dan tindak balas kerajaan terhadap pandemik Covid-19 yang lemah.

Mereka berkata anak muda ini akan cenderung untuk terus menghentam kerajaan melalui media sosial dan mengadakan demonstrasi jalanan sekiranya Putrajaya tidak bersikap tegas.

Khamis lalu, satu klip video tunjuk perasaan di Parit Raja, dekat Batu Pahat, Johor dikongsi dalam talian dan tular di media sosial.

Ia menunjukkan sekumpulan pemandu dan penunggang motosikal menghalang persimpangan jalan raya yang sibuk, membakar suar dan kain rentang dengan tulisan “Kerajaan Gagal” di atasnya.

Tweet dengan hashtag #KerajaanGagal, yang bermula pada 16 April, telah menjadi tren sejak sebulan lalu.

Azmi Hassan, bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata belia ingin mengetahui apa yang kerajaan ingin lakukan dalam memerangi Covid-19.

Beliau berkata Putrajaya harus mencontohi Britain, yang “mempunyai rancangan terperinci mengenai bila dan apa yang perlu dibuka dan dalam keadaan yang bagaimana”. Dia merujuk sekatan perniagaan dan aktiviti lain.

“Belia kita juga mahu melihat rancangan negara yang jelas,” katanya kepada FMT.

Katanya mereka mahu kerajaan menunjukkan bahawa mereka tahu apa yang sedang dilakukan. “Mereka tidak mahu pusingan-U.”

Merujuk kepada pengumuman SOP Hari Raya dan perintah sekatan di Kuala Lumpur baru-baru ini, dia berkata: “Mereka memahami alasannya. Tetapi sebelum Raya, perdana menteri mengumumkan sekatan sepenuhnya walaupun sebelum ini berjanji tidak akan ada PKP di seluruh negara.

“Dari kaca mata dan persepsi belia, kerajaan tiada pemikiran yang jelas tentang bagaimana untuk memerangi Covid-19 dan membantu mereka berdepan masalah.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata ekonomi yang lemah mengundang kebimbangan kehilangan pekerjaan dalam kalangan belia yang, tambahnya, juga marah dengan keadaan darurat selain mengekang kebebasan bersuara.

Tambahnya mereka turut menolak dakwaan amalan dwistandard dalam penguatkuasaan SOP.

“Mereka faham mengapa kompaun dikenakan tetapi mula memberontak kerana amalan dwistandard tersebut,” katanya kepada FMT.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata kebanyakan rakyat, termasuk belia, menyokong SOP dan “perintah sekatan yang betul” tetapi masih mencari “arah dan arahan yang jelas”.

Beliau mendesak kerajaan untuk menghentikan amalan dwistandard dan membentuk dasar yang akan membantu belia “kembali kepada kehidupan normal”.

Seluruh negara diletakkan di bawah PKP dari 12 Mei hingga 7 Jun. Ia diumumkan dua hari selepas kerajaan memberi jaminan kepada rakyat bahawa tidak akan ada sekatan di seluruh negara.