Solidariti bersama Ain Husniza (Malay/English)

 

Solidariti bersama Ain Husniza (Malay/English)

By

 Aliran admin




Kami (seperti di bawah) amat terganggu dan terkejut dengan komen-komen yang membahayakan dan ugutan yang dibuat oleh orang awam terhadap Ain Husniza Saiful Nizam.

Beliau, seorang pelajar 17 tahun, baru-baru ini telah melaporkan bahawa guru lelaki Pendidikan Jasmani Kesihatan di sekolahnya telah membuat ‘jenaka’ mengenai rogol dan menyiratkan bahawa pelajar lelaki boleh merogol perempuan dewasa dan bukan perempuan bawah umur. Ain telah berkongsi pengalamannya di TikTok, sebuah aplikasi perkongsian video.

Disebabkan video TikTok tersebut, Ain telah menerima ugutan rogol daripada seorang pelajar yang juga menuduhnya merosakkan imej sekolah. Ain juga dikritik menjadi “terlalu emosional” dan diberitahu bahawa kejadian tersebut harus diatasi secara dalaman di sekolah.

Jenaka mengenai rogol, komen lucah dan memalukan tubuh badan seseorang (body shaming) di media sosial

Walaupun video TikTok Ain menerima sokongan orang awam, ia juga telah menerima kutukan dan kritikan dalam bentuk komen seksual dan ugutan di media sosial. Gangguan dalam talian tersebut telah menyebabkan Ain menjadi subjek “victim blaming” (menyalahkan mangsa) dan objek seksual. Ain juga telah dikutuk kerana tidak memakai tudung.

Apa yang menakutkan, majoriti komen-komen tersebut telah dibuat oleh orang dewasa lelaki termasuklah yang dikatakan guru-guru lelaki. Ini adalah sesuatu yang amat menggelikan dan membawa malu terhadap profesion perguruan kerana guru sepatutnya menjadi contoh kepada para pelajar. Jika benarlah komen-komen tersebut dibuat oleh guru-guru, kami menuntut mereka disiasat dan tindakan keras diambil terhadap mereka. Kita mesti memastikan sekolah merupakan tempat yang selamat untuk semua pelajar.

Selain itu, komen Timbalan Ketua Polis Negara [pada masa itu] Acryl Sani Abdullah Sani juga membiasakan budaya rogol dengan mengatakan bahawa polis telah menerima laporan daripada seorang pelajar. Komen beliau, “mungkin gurauan oleh rakan sedarjahnya yang tidak dapat dia terima” adalah komen yang tidak sesuai dan tidak boleh diterima. Kenyataan seperti ini amatlah tidak sensitif dan mengejutkan kerana rogol dan jenaka rogol harus diambil kira sebagai ugutan kepada keselamatan. Oleh itu, kami mendesak [beliau] meminta maaf secara rasmi untuk kenyataannya yang tidak profesional dan tidak sensitif yang memandang rendah terhadap ugutan rogol dan memandang rendah terhadap kegusaran dan keresahan yang disebabkan gangguan seksual.

Kami ingin kejadian ini menjadi suatu pengajaran kepada semua untuk menolak budaya seksisme dan menolak semua bentuk gangguan seksual dalam kehidupan dan perbualan harian. Kami menuntut kebertanggungjawapan daripada para guru, sekolah, penguatkuasa undang-undang dan sesiapa sahaja yang telah menyebabkan gangguan terhadap Ain. Kami juga tidak menyokong apa-apa bentuk hukuman balas (retributive punishment) atau serangan secara beramai-ramai (mob attack) terhadap mereka yang telah menyerang Ain.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

Solidariti bersama Ain Husniza

Kami dengan sebulat suara menyokong Ain Husniza dan gerakannya #MakeSchoolASaferPlace. Ain telah menunjukkan keberanian dan kecekalan dengan mengkritik budaya misoginis yang toksik yang membiasakan jenaka rogol, antun seksual (sexual grooming), maskuliniti toksik (toxic masculinity) dan pedofilia.

Tindakan berani Ain dapat mewujudkan kesan positif dan menggalakkan lebih ramai pelajar dan orang muda untuk bangkit dan melawan gangguan seksual dan segala bentuk layanan yang mendiskriminasikan dan merendahkan pelajar perempuan di sekolah dan institusi pendidikan yang lain.

 


No comments: