Pada 5
Oleh B. Suffian
DAP tidak akan berputus asa dalam memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perjuangannya sebagai sebuah parti Malaysia yang pelbagai kaum.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha diteruskan meskipun parti itu diserang oleh lawan-lawan politiknya menerusi pelbagai label negatif.
“Ia tidak mudah untuk dipadamkan (label-label ini) terutama dalam kalangan masyarakat Melayu. Saya rasa, DAP telah diterima oleh masyarakat bukan Melayu tetapi kita masih ada cabaran dalam mendapatkan sokongan masyarakat Melayu.
“Namun ini adalah sesuatu yang kita perlu terus berusaha bukannya apabila kita dilabel sebagai parti anti-Melayu, anda tahu sukar untuk mendapat sokongan orang Melayu, selepas itu anda berputus asa. Jika anda putus asa, maka tiada masa depan untuk DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang tetamu dalam Program ‘The Breakfast Grille’ hari ini.
Menjawab soal cabaran DAP di kawasan pedalaman, Anthony berkata, bukan sahaja sekadar kerjasama dengan rakan-rakan komponen, DAP sendiri perlu berusaha memasuki kawasan-kawasan pedalaman.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata, DAP mempunyai beberapa program mendekati kawasan pedalaman secara terus dengan melakukan projek-projek kemasyarakatan dan membawa pemimpin parti ke kawasan pedalaman untuk berjumpa rakyat.
“Ini saya rasa adalah pendekatan-pendekatan yang kita akan terus lakukan dan dengan tidak bergantung kepada rakan-rakan gabungan kita. Jika kita mahu berjaya, kita perlu mencubanya sendiri.
“Ini perlu berterusan… Aktivisme akar umbi tidak boleh terhenti dengan hanya satu dua projek, ia perlu jadi usaha berterusan. Lama kelamaan, kita berharap mendapat sokongan dan kepercayaan mereka,” katanya.
Berhubung kekuatan Pakatan Harapan (PH), Anthony berkata, gabungan parti DAP, PKR dan Amanah itu diyakini akan kekal kukuh dan akan memasuki pilihan raya umum akan datang sebagai satu gabungan. –