Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon Perdana Menteri yang sesuai pada masa hadapan berdasarkan populariti dua pemimpin terbabit.
Penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjadi pilihan berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Bagaimanapun, katanya, ia bukan perkara yang boleh dijangkakan ketika ini sebaliknya perlu dibentangkan di Parlimen atau melalui pilihan raya bagi mendapatkan jawapan lebih tepat.
“Saya ingat, kombinasi antara mereka, mungkin ranking tertinggi ialah kombinasi antara Muhyiddin dan Anwar sendiri.
“Hal ini bagaimanapun bukan persoalan yang boleh kita jangkakan sekarang sebaliknya perlu dibentangkan di Parlimen atau melalui pilihan raya. Itu yang lebih ‘solid’
“Tapi saya ingat, itulah kedua-duanya (Muhyiddin dan Anwar) ada kelebihan masing masing,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-253 bertajuk ‘Masa Depan PKR Dan Cita-Cita Anwar’ disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Wacana turut menampilkan Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif Petra Media, Datuk Afdlin Shauki sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.