Bila agama jadi alat politik, Rafidah khuatir masa depan Malaysia


PETALING JAYA: Tokoh politik veteran Rafidah Aziz khuatir memikirkan masa depan Malaysia kerana ahli politik menggunakan agama sebagai alat untuk meraih sokongan dan undi.

Bekas menteri itu memberi amaran kecenderungan mempolitikkan agama secara berterusan akan membawa musibah buruk kepada negara.

Rafidah berkhidmat sebagai menteri pelbagai portfolio, sejak 1980 sehingga 2008, bawah pentadbiran Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, dan Abdullah Ahmad Badawi.

“Apabila agama dipolitikkan, kamu akan terlencong dari rukun sebenar agama. Kamu tafsir agama mengikut nafsu supaya ‘menghalalkan’ matlamat kamu. Saya bimbang melihat hal ini.

“Dalam 55 tahun menceburi politik, sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak…saya boleh ‘nampak’ keadaan kita sebelum ini, keadaan kita sekarang ini, dan ke mana kita selepas ini. Apa yang saya ‘nampak’ menakutkan saya,” katanya dalam temubual FMT.

Bekas ketua Wanita Umno itu berkata beliau sudah muak dengan ketoksikan politik tanahair sekarang.

Menurutnya, politik hari ini mengenai kekal berkuasa semata-mata dan bukan lagi tentang sumbangan kepada negara. Perkara itu, katanya, bukan sahaja terhad kepada pimpinan tertinggi negara.

Beliau berkata kerajaan masa ini “teralih daripada isu rakyat”.

“Covid-19 pun kamu mahu politikkan. Sekarang bukan masanya untuk fikir tentang politik. Rakyat boleh nampak kalau kamu sedang memancing undi dan matlamat kamu hanyalah kepentingan sendiri.”

Rafidah menggesa rakyat berfikir secara objektif apabila mengundi pada pilihan raya umum akan datang agar tidak dibuai oleh kata-kata ahli politik, yang suka berslogan dan mengubah mesej mengikut etnik pengundi yang disasarkan.

“(Kalau) Dia pergi ke majlis agama orang Islam, (dia) siap pakai serban dan sarung, cakap pasal ‘Allah’…(main) rentak Arab,” katanya.

“Kemudian dia pergi jumpa orang Cina, cakap pasal kita berbilang bangsa. Lepas itu dia pergi jumpa orang India pula…Ini semua tak patut. Kamu harus bercakap dengan semua sebagai rakyat Malaysia.”

Ditanya mengenai masa depan orang Melayu jika terpengaruh dengan retorik politik agama, Rafidah bingkas menjawab: “Saya lebih risaukan ke mana arah tuju Malaysia dan rakyat.”

Rafidah menegaskan kemiskinan tidak harus dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya harus ditangani secara menyeluruh dalam konteks masyarakat majmuk.

“Saya Melayu, tapi pertama-tama sekali saya rakyat Malaysia.”

“Kalau kita terus-menerus menyokong politik yang berat kepada kaum tertentu, kita tanam benih-benih perselisihan,” katanya.