Dianggarkan 40,000 permohonan rentas negeri diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) setiap hujung minggu.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kuasa memberi kebenaran rentas negeri sudah diberikan sepenuhnya kepada PDRM untuk membuat pertimbangan.
Katanya, tiada keistimewaan dan pengecualian diberikan kepada sesiapa saja termasuk selebriti atau orang ternama untuk mendapat kebenaran merentas negeri.
“Kebenaran rentas negeri hanya dibenarkan untuk kes kecemasan seperti sakit, kematian atau kerja namun perlu mengisi borang.
“Kesahihan alasan untuk rentas negeri menyebabkan sesetengah permohonan tidak dibenarkan polis,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sejak kebelakangan ini timbul pertikaian dalam kalangan masyarakat apabila individu terkenal seperti selebriti dan orang ternama diberi pelepasan merentas negeri.
Ia menimbulkan rasa kurang senang masyarakat yang menganggap arahan itu hanya tertakluk kepada rakyat biasa bukan golongan ‘kayangan’ seperti selebriti yang mendapat keistimewaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memutuskan SOP bekerja dari rumah untuk kakitangan awam manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (Miti) bagi kakitangan swasta.
“Keputusan berhubung operasi kakitangan awam dan swasta bekerja dari rumah akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.