Profesional muda, rumah pelacuran penghutang terbesar

 

Seorang peminjam wang haram mendedahkan golongan yang mengambil hutang termasuk peguam, akauntan, setiausaha dan eksekutif bank yang baru mula bekerja.

KUALA LUMPUR: Pemilik rumah pelacuran dan profesional muda kurang dipandang sebagai pembayar hutang baik, kata peminjam wang.

Ini kerana ramai golongan muda hidup melebihi kemampuan, termasuk meminjam wang daripada lintah darat untuk membeli kereta dan pakaian mewah.

Seorang peminjam wang haram, Sun T, memberitahu FMT, golongan yang mengambil hutang seperti itu termasuk peguam, akauntan, setiausaha dan eksekutif bank yang baru mula bekerja.

“Ini trend membimbangkan. Mereka amat pentingkan gaya hidup yang nampak hebat. Mereka membeli kereta semata-mata mahu kelihatan bagus.


“Kini dengan semakin ramai orang hilang kerja atau dipotong gaji akibat Covid-19, golongan ini semakin terbelenggu dengan hutang,” katanya.

Sun berkata usia penghutang ini antara 25 hingga 35 tahun yang kebanyakannya pernah menikmati gaji sehingga RM15,000.

“Jika mereka menganggap ah long tidak bertanggungjawab, sebenarnya golongan profesional muda ini jauh lebih tidak bertanggungjawab. Ibu bapa mereka pula yang terpaksa melunaskan hutang anak-anak,” katanya.

Katanya, selain memilih kereta mewah atau ‘sport’ dan pakaian berjenama, ada juga antara mereka gemar berjudi.

Sementara itu, pelacuran juga semakin terkesan dengan pandemik, apabila kebanyakan rumah pelacuran di Kuala Lumpur dan Selangor ditutup selepas pekerja asing berhenti menggunakan khidmat mereka.

“Pelanggan kami yang menjalankan rumah pelacuran mengakui mengurangkan caj dari RM30 kepada RM10 sejam, namun masih kurang pelanggan,” katanya.

Ini disebabkan kebanyakan pekerja asing sama ada pulang ke negara asal atau hilang kerja sejak tahun lalu.

Katanya, kebanyakan rumah pelacuran sama ada dalam proses ditutup atau tidak lagi beroperasi.

Bagaimanapun, katanya, pelanggan yang menjalankan rumah pelacuran mewah masih mampu mengaut untung.

“Lokasi seperti itu terletak di tengah ibu kota di mana golongan VIP tidak kisah menghabiskan wang untuk perempuan,” katanya.

Tak lagi terima kereta sebagai cagaran

Sementara itu seorang peminjam wang berlesen berkata pelanggannya di Lembah Klang telah hilang 35% perniagaan mereka sejak PKP pertama pada Mac tahun lalu, seterusnya turut menjejaskan pembayaran hutang.

Sam, yang menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu berkata, kebanyakan pelanggannya adalah peniaga pasar, tukang emas, ejen hartanah dan pemilik kedai runcit.

Katanya, pemaju antara yang paling teruk terkesan kerana projek terbengkalai sejak tahun lalu, seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat membayar hutang.

“Kami kini menyaman pelanggan di mahkamah bagi hutang lebih RM2 juta yang dipinjam tahun lalu,” katanya kepada FMT.

Katanya, PKP baharu yang diumumkan pada Selasa berkemungkinan akan mencetuskan reaksi berantai dalam sektor pembinaan kerana industri berkaitan lain termasuk pengeluaran simen, perkakasan dan pengangkutan juga akan terjejas.

“Banyak kedai perkakasan tutup tahun lalu dan pekerja hilang kerja. Ia reaksi berantai. Pelanggan saya terdesak dan tidak mampu membayar hutang,” katanya.

Sam berkata ramai pelanggannya doktor, peguam akauntan dan juruterbang.

“Ada yang kehilangan kerja atau berdepan potongan gaji seterusnya tidak mampu membayar kami.

“Mereka memberikan kereta sebagai cagaran, namun sejak Jun tahun lalu, kereta terpakai tidak lagi bernilai jadi kami tidak lagi menerimanya,” katanya.

Sebaliknya, katanya, mereka mengambil emas, rumah atau tanah sebagai cagaran.

“Bagi rumah yang akan dilelong, kami menjualnya pada kadar 30% di bawah pasaran saham. Kami ambil apa yang dihutangkan pelanggan dan memulangkan baki kepada mereka,” katanya.

Kata Sam, ibu bapa antara golongan paling baik membayar hutang.

“Mereka sekadar mengambil kurang daripada RM10,000 untuk mendaftar anak ke kolej, dan golongan ini sajalah yang membayar kami tepat pada waktunya setiap bulan,” katanya.