FMT Reporters
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa memberi penjelasan mengenai status sekolah di enam daerah di Selangor yang akan berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai esok.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan berkata satu pengumuman segera mengenai status sekolah tersebut diperlukan kerana sebahagian mereka sedang mengadakan peperiksaan pertengahan tahun.
“Adakah sekolah di bawah kawasan PKP akan ditutup serta-merta atau akan diteruskan sehingga cuti Hari Raya bermula?” tanya jawatankuasa itu dalam kenyataan.
Katanya, jika sekolah ditutup ia akan menimbulkan persoalan bagaimana ibu bapa yang anaknya berada di sekolah berasrama dapat membawanya pulang.
“Adakah ibu bapa yang perlu mengambil anak mereka dari asrama makan diberikan pelepasan merentas daerah dan negeri sempena pelaksanaan PKP kali ini memandangkan PKP kali ini dikuatkuasakan di musim perayaan?” tanya jawatankuasa itu.
Tambahnya, pengumuman itu perlu untuk membantu sekolah dan ibu bapa membuat persiapan yang diperlukan, termasuk menjadualkan semula peperiksaan dan meminta bantuan pengasuh anak-anak.
Katanya, sekiranya ibu bapa dibenar untuk mengambil anak-anak mereka, adakah surat sekolah sudah memadai sebagai bukti untuk merentas daerah atau negeri.
“Penggunaan surat makluman itu membolehkan ibu bapa tidak perlu hadir ke balai polis memandangkan ia mengambil masa yang lama.,” katanya.
“KPM perlu lebih bersikap proaktif dalam memaklumkan tentang pelbagai isu yang
berbangkit bagi memudahkan urusan sekolah, murid dan ibu bapa.”
Semalam, kerajaan mengumumkan enam daerah Selangor – Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang akan berada di bawah PKP mulai 6 hingga 17 Mei.