Pemuda PH buat laporan SPRM siasat pendedahan Hamid Bad

 












Pemuda Pakatan Harapan (PH) semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pendedahan salah laku Menteri Dalam Negeri sebagaimana didedahkan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Syed Badli Shah Syed Osman, Pemuda PH membuat laporan di atas tiga isu besar yang didedahkan oleh Hamid.



"Kita telah menghantar 3 aduan kepada SPRM.



"Pertama, aduan berkaitan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), iaitu terdapat penyalahgunaan kuasa terhadap pengaturan perlantikan pegawai kanan polis.

"Kedua, isu lompat parti yang kita percaya jika SPRM boleh perincikan mungkin terdapat unsur rasuah di dalam isu berkenaan yang berlaku sehingga kerajaan PH tumbang

"Ketiga, pendedahan Tan Sri Hamid Bador (semalam) tentang penggunaan Cawangan Khas (polis) untuk menekan musuh-musuh politik," katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya.


Sehubungan itu, Syed Badli mengharapkan SPRM menyiasat menteri kerajaan Perikatan Nasional tanpa gentar dan pilih bulu.

"SPRM memberikan kerjasama yang baik (kepada kami). Mereka menerima laporan ini. Kita harap pihak SPRM akan meneruskan siasatan kerana kita percaya terdapat unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Kita harap mereka terus menyiasat untuk mendedahkan hal ini kepada rakyat umum," katanya.

Sebelum itu, Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin juga menggesa SPRM menyiasat pendedahan yang menggegarkan negara tersebut kerana apa yang dikatakan Hamid mempunyai merit dan bukannya tuduhan kosong.

Turut serta membuat laporan tersebut adalah Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dan pimpinan pemuda PH lain.

 

No comments: