PH fail permohonan mahkamah cabar penggantungan sidang Parlimen, DUN

 




POSTED BY AMIR WRLR


Pakatan Harapan (PH) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam terhadap kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, berkenaan penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkuatkusa selepas perisytiharan darurat pada 11 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Setiausaha PH, permohonan tersebut dibuat bagi menentukan sah atau tidak kaedah-kaedah Ordinan Darurat boleh digunakan untuk menggantung Parlimen dan DUN.

"Tindakan Mahkamah ini bukan bertujuan mencabar Proklamasi Darurat yang diisytiharkan. Sebaliknya bagi menentukan bahawa kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat itu yang membenarkan penggantungan sidang Parlimen dan DUN adalah tidak sah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri bersama Kabinet telah pun bertindak secara tidak sah dan melanggari Perlembagaan apabila menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk menggantungkan sidang Parlimen dan DUN.

"Kerajaan Persekutan, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan wakil rakyat di seluruh negara memerlukan persidangan-persidangan pada waktu kritikal ini untuk mengumpulkan suara rakyat yang diwakili, membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta urusan lain yang membabitkan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, cabaran undang-undang telah dikemukakan oleh 3 pemimpin dari 3 parti komponen PH.

"PH melalui 3 orang Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayub (ADUN Simpang Jeram, Johor), Datuk Johari Abdul (ADUN Gurun, Kedah) dan Abdul Aziz Bari (ADUN Tebing Tinggi, Perak) telah membuat satu permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Permohonan ini difailkan untuk membuat semakan terhadap kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021," ujar kenyataan itu.

Menurut Majlis Setiausaha PH, tindakan mahkamah diambil semata-mata di atas komitmen gabungan berkenaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook.