FDI jatuh salah kerajaan, henti jadikan Covid-19 alasan, kata Anwar

 

FDI jatuh salah kerajaan, henti jadikan Covid-19 alasan, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata, ketidakstabilan politik ialah faktor utama pelabur asing memilih negara lain berbanding Malaysia.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kejatuhan ketara pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau merujuk laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang pengaliran masuk FDI ke Malaysia jatuh 68% kepada AS$2.5 bilion pada 2020.

Presiden PKR itu mendapati ia adalah rekod terburuk dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Menurut laporan UNCTAD, FDI di Asia Tenggara berkurangan 31% kepada AS$107 bilion, dengan FDI Singapura jatuh 37% kepada AS$58 bilion, Indonesia 24% ke AS$18 bilion dan Vietnam 10% ke AS$14 bilion.

“Malaysia merosot dalam kadar paling tinggi 68%. Maknanya, kita dari segi keupayaan menarik pelaburan parah, kalah berbanding negara Asean yang lain.

“Apa alasan? Kata menteri Covid-19, apa Filipina tak ada Covid-19 kah, Indonesia tak ada Covid-19?” katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Memetik FDI Indonesia yang merosot 24% dan Filipina naik 29%, Anwar berkata, kerajaan perlu belajar daripada negara ini cara menangani pandemik dengan lebih berkesan.

“Indonesia tidak ada darurat, pelaburan merosot kecil. Filipina tidak ada darurat, pelaburan meningkat 29%.”

Katanya, ketidakstabilan politik ialah faktor utama pelabur asing memilih negara lain berbanding Malaysia.

Beliau menggesa kerajaan mula bertanggungjawab terhadap urus tadbir lemah mereka yang menyebabkan kejatuhan ketara dalam FDI.

Ahli Parlimen Port Dickson turut membidas kerajaan tidak memberitahu kebenaran mengenai keadaan ekonomi negara.

“Kalau penurunan kecil kita boleh faham, tapi ini besar menggambarkan kita lemah mentadbir.

“Apa salahnya katakan ya, kita tak berjaya tarik pelaburan, jadi kita akan adakan beberapa langkah baru untuk menarik pelabur.”



No comments: