TOLAK BELANJAWAN TIDAK BERMAKNA INGKAR AGONG, TAPI UNTUK SELAMATKAN DERITA RAKYAT

 Majoriti rakyat secara umumnya menolak tiga perkara berikut sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021, Jumaat lalu.

Pertama, rakyat menolak dan tidak gembira dengan keputusan kerajaan tidak membenarkan pencarum mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dengan jumlah maksimum RM10 ribu.

Kedua, rakyat juga menolak, kecewa dan tidak gembira kerana kerajaan enggan melanjutkan moratorium pinjaman bank antara 3 hingga 6 bulan lagi.

Ketiga, rakyat turut menolak,kecewa dan marah dengan keputusan kerajaan mahu menghidupkan semula Jasa serta memberi peruntukan besar untuk jabatan itu memulakan operasinya tahun depan sebanyak RM85.5 juta.

Tanpa ragu-ragu, boleh dikata lebih 90 peratus rakyat didapati menolak tiga perkara di atas, malah ia juga dipercayai akan menjadi inti perbahasan Ahli-Ahli Parlimen PH,BN dan lain-lain yang sealiran dengannya yang bermula hari ini.

Dalam erti kata lain , penolakan itu adalah suara besar rakyat yang jelas tidak setuju dan ia boleh didengar di mana-mana – di kedai kopi, lobi hotel, dalam perbualan suami isteri di meja makan, dalam media sosial dan sebagainya.

Walaupun Yang Dipertuan Agong ada bertitah agar Belanjawan 2021 diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen, tetapi asas baginda mengeluarkan titah demikian tentulah dengan harapan agar kepentingan dan keperluan rakyat sentiasa diambil kira oleh kerajaan.

Ternampak sekarang, disebalik titah Agong itu, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin seolah-olah cuba mengambil kesempatan daripadanya dengan merangka belanjawan yang tidak berpihak kepada rakyat, bahkan lebih menjurus kepada agenda politik peribadi.

Bagi Ahli-Ahli Parlimen pula, oleh kerana mereka sendiri dipilih oleh rakyat, sudah tentulah mereka akan dianggap songsang jika menyokong Belanjawan 2021 yang nyata tidak disukai rakyat.

Keutamaan bagi Ahli-Ahli Parlimen ialah mereka berperanan melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk rakyat dan menolak perkara-perkara lain yang tidak dipersetujui rakyat.

Jika mereka menyokong juga perkara yang tidak dikehendaki rakyat, kemungkinan mereka ditolak dalam PRU seterusnya adalah cerah sekali.

Tidak guna sebenarnya bagi Ahli-Ahli menyokong Belanjawan 2021 ini jika hasilnya tidak memberi manfaat, malah terus menjadikan kehidupan rakyat dalam derita yang lebih panjang.

Untuk itu, adalah penting bagi Ahli-Ahli Parlimen berbahas secara kritikal, mengemukakan cadangan yang pro rakyat serta mengambil sikap berani menekan kerajaan agar tiga perkara di atas yang ditolak rakyat itu dapat ditarik balik oleh kerajaan sebelum hari pengundian.

Jika kerajaan berkeras juga mahu melaksanakannya, maka pilihan yang ada ialah menolaknya ketika pengundian diadakan.

Bukan saja Ahli-Ahli Parlimen PH, BN dan lain-lain yang harus menolaknya, bahkan mereka daripada kelompok PN sendiri pun seharusnya berani mengambil pendirian yang sama.

Hanya dengan sikap sedemikian, Ahli-Ahli Parlimen benar-benar akan dilihat berperanan secara terpuji untuk kepentingan rakyat serta layak digelar wakil rakyat.

Buat apa menyokong Belanjawan 2021 yang dalam waktu yang sama sokongan itu juga bererti memanjangkan lagi hayat politik Muhyiddin, sedangkan tindakan sedemikian boleh menyebabkan kemarahan serta kebencian rakyat.

Menolak belanjawan yang tidak memberi manfaat rakyat bukanlah bermakna Ahli-Ahli Parlimen ingkar kepada titah Agong, malah lebih untuk mengutamakan rakyat yang berada di bawah naungan Agong itu sendiri.

Lagi pula, untuk jangka panjang, yang lebih diperlukan oleh Ahli-Ahli Parlimen ialah sokongan dan berbuat apa yang disukai rakyat, bukannya menyukakan hati Muhyiddin.

Sama ada dengan penolakan Belanjawan 2021 akan menyebabkan sebuah kerajaan baru dibentuk atau PRU mengejut terpaksa diadakan, mereka yang bersikap mengutamakan rakyat pasti sentiasa ada dalam hati dan jiwa rakyat, selain tiga perkara yang menjadi kebencian itu dapat diubahsuai segera. 

(Shahbudindotcom 09/11/2020)