HUJAH-HUJAH ANWAR MEMBAHAS BAJET 2021

 

Hari ini saya selaku Ketua Pembangkang telah membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.

Saya memulakan perbahasan dalam kerangka atau konteks kebijaksanaan keputusan Raja-Raja Melayu untuk tidak membenarkan pengisytiharan darurat oleh kerajaan dan kabinet.

Apa yang diputuskan oleh Raja-Raja Melayu ini penting kerana ia melindungi Perlembagaan dan demokrasi kita dari diinjak oleh beberapa watak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru keabsahan kerajaan ini akan terus dipersoal dan disanggah melalui Parlimen. Meski saya puji kesungguhan kerajaan dan Menteri Kewangan dalam membina muafakat yang ampuh bagi kita mendepani serangan dan dampak wabak COVID-19, Menteri Kewangan tidak langsung menyebut atau mengangkat enam syor dari Pakatan Harapan semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Kejujuran dan niat kerajaan dan kementerian kini dipersoal apakah ia benar-benar serius mahu merangkul kekuatan untuk membendung wabak COVID-19.

Saya teruskan perbahasan dengan mempersoal bagaimana mungkin Kementerian Kewangan dapat meramalkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.6-9.6% bagi tahun 2021 dan pertambahan hasil yang tinggi sedangkan unjuran pertumbuhan yang rendah telah dibuat oleh badan-badan antarabangsa seperti World Bank dan IMF, dan juga Bank Negara sendiri.

Justeru dari mana angka ini diperolehi oleh Kementerian Kewangan? Atas pertimbangan apa?

Saya turut mempersoalkan unjuran yang tidak munasabah melibatkan cukai korporat dan cukai individu. Tindakan Kementerian untuk menggunakan dana dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) sebanyak RM10 bilion bagi tahun 2020 dan 2021 adalah tidak wajar bagi mengelabui angka sebenar hasil negara.

Kerajaan juga dilaporkan akan menerima hasil bukan cukai bernilai sebanyak RM14.046 bilion. Apakah ini melibatkan aset negara? Atau ia akan dijual kepada kroni? Apakah ia akan dijalankan dengan secara tender terbuka atau kembali pada amalan lama?

Sebelum mengakhiri perbahasan, saya berikan mesej yang jelas bahawa belanjawan kali ini dicanang sebagai ‘Belanjawan COVID-19’. Namun angka dan unjuran pendapatan menimbulkan pelbagai persoalan serta keraguan. Jumlah perbelanjaan tidak menunjukkan tekad yang serius bagi menangani pandemik ini.

Saya juga mencadangkan peruntukan wang bagi Kumpulan Wang COVID-19 ditambah melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan.

Dengan adanya peruntukan yang mencukupi di dalam Kumpulan Wang COVID-19, barulah kita akan mampu menangani kesan wabak COVID 19 pada ekonomi negara.

Kita perlu memperuntukan wang bagi memastikan aliran tunai kepada rakyat dan syarikat, bukannya projek mega kroni.

Saya turut mengingatkan kerajaan untuk mengkaji semula belanjawan ini. Kita diminta untuk menyokong dengan andaian ini belanjawan COVID-19, maka pandangan saya kita akan hanya menyokong jikalau benar kerajaan serius menangani dampak wabak.

ANWAR IBRAHIM/9 NOVEMBER 2020.