Anwar gesa batalkan peruntukan Jasa, Penggerak Komuniti

 


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz supaya membatalkan peruntukan RM81.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) seperti yang tertakluk dalam Belanjawan 2021.

Beliau berkata, peruntukan itu lebih sesuai digunakan untuk petugas barisan hadapan COVID-19, bukannya untuk propaganda politik.

"Jumlahnya besar sangat, kalau bagi RM8,000 okay lagi, tapi rakyat tengah susah, zalim ambil wang sampai RM80 juta, ini unprecedented," katanya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson juga meluahkan rasa simpati kepada Tengku Zafrul yang terpaksa tunduk kepada desakan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya simpati dengan menteri kewangan, dia bukan orang politik, ada orang masukkan dalam bajet pun dia tulis sahaja.

"Bila terdedah, yang kena jawab dia, jadi sebagai sahabat yang simpati, batalkan sajalah peruntukan itu.

"Menteri kewangan jadi mangsa politik, bagilah hujah macam mana karut pun orang dah tak boleh terima, orang tengah susah, cakap simpati kepada frontliners, tapi untuk kroni politik untuk meneruskan propaganda kotor, RM81 juta diberikan," katanya.

Anwar juga menggesa supaya membatalkan peruntukan RM8.6 juta untuk sebuah NGO iaitu Penggerak Komuniti Negara yang beroperasi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Batalkan peruntukan juga untuk NGO Penggerak Komuniti, ini geran one-off untuk kesenangan menteri KPKT, mana boleh begini. Menteri Kewangan kena jaga integriti dan kredibiliti, jangan main masukkan sahaja peruntukan

"Geran ini tidak ada perincian, hanya untuk jaga keperluan menteri dan kelompok politik mereka. Mereka guna ini untuk sebar propaganda kepada raja-raja, rakyat dan parlimen, padahal ini wang COVID-19," katanya.

 

No comments: