SIARAN MEDIA



Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pulau Pinang mengambil maklum berkenaan tindakan Dr Afif bin Bahardin, ADUN Seberang Jaya yang telah mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM).

Beliau sebelum ini telah digugurkan sebagai exco kerajaan negeri Pulau Pinang , dilucutkan hak sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan negeri bersama 2 adun PPBM selepas disahkan penggantungan serta pemecatan keanggotaannya oleh Lembaga Disiplin, Parti Keadilan Rakyat.

Bagi Zulkifli bin Ibrahim, ADUN Sungai Acheh, Lembaga Disiplin  parti telah menerima laporan dan bukti yang menunjukkan beliau  jelas bersekongkol dengan mereka yang mengkhianati parti serta mandat rakyat, seraya bertindak  menyelar Presiden KEADILAN , Dato' Seri Anwar bin Ibrahim serta parti yang telah memberi laluan beliau bertanding, secara terbuka.

Segala tutur kasar yang keluar daripada individu sebegini - hanyalah mempamerkan kedengkian serta sikap tidak bertanggungjawab demi kepentingan diri sendiri, membelakangi arus perjuangan rakyat.

Selain itu ,beliau juga telah mengadakan perjumpaan bersama Dr Afif dan Adun-Adun pembangkang lainnya dengan niat mencabar kestabilan serta kewibaan PH Pulau Pinang . Percayalah, yang haq sentiasa mengatasi yang batil, InshaaAllah.

Mereka sekarang menikmati jawatan dalam GLC kerajaan PN - sementara kerajaan pusat PH sebelumnya diruntuhkan; di kala rakyat sendiri terpaksa mengharungi ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik covid-19.

Klimaks pengkhianatan ini dapat dilihat apabila mereka bertemu PM dan mengisytiharkan sokongan kepada PN , secara terang- terangan  membelakangkan perjuangan parti dan mandat rakyat, sementara terus menikmati kerusi ADUN masing-masing.

KEADILAN Pulau Pinang sentiasa komited dalam usaha memperkukuhkan agenda berkebajikan rakyat menerusi wadah Pakatan Harapan. 

InshaaAllah, kebajikan rakyat akan terus dipertingkatkan dan kami akan sentiasa memberi pembelaan sewajarnya kepada masyarakat terpinggir melalui kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

MUHAMMAD BAKHTIAR BIN WAN CHIK
Pemangku Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri
KEADILAN Pulau Pinang
24 Jun 2020


No comments: