Kerajaan PN tiada idea tangani gelombang pengangguran
Pengangguran akan menjadi fenomena yang menyakitkan dalam era norma baharu pandemik Covid 19. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dipersalahkan sekiranya gagal megambil langkah sewajarnya menangani pengangguran yang telah mencecah kadar 5% dan terburuk sejak kemelesetan ekonomi 1980an.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, kadar penggangguran berkemungkinan melonjak lebih tinggi menjelang hujung tahun sekiranya Kementerian Kewangan tidak memulakan langkah proaktif dalam mengekang trend pembuangan pekerja dalam syarikat-syarikat terjejas, terutama melibatkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Apa yang kita lihat berlaku di negara luar pengangguran lebih 10 peratus (akibat wabak Covid). Kalau kita rujuk di Malaysia, kita ada 1 juta pekerja yang berdepan dengan keadaan sedemikian.
“Jadi untuk kita menzahirkan pemulihan ekonomi, perkara asas yang mesti ada ialah keyakinan pelabur untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi memastikan tenaga kerja tidak berdepan masalah ketiadaan pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Menurut Abdullah lagi, kerajaan PN juga perlu memastikan pakej ransangan ekonomi bagi sektor industri dan perniagaan mampu menjana pendapatan secukupnya. Jika gagal mereka tiada pilihan selain membuang pekerja atau pun memotong gaji. Kedua-duanya akan mengakibatkan perbelanjaan pengguna merosot dan melembabkan putaran ekonomi.
“Adakah kerajaan bersedia memastikan IKS atau industri berat mendapat ruang untuk menjana pendapatan syarikat? Hal ini perlu difikikan dalam kerangka pemulihan ekonomi yang diambil. Tetapi setakat ini kita tidak nampak lagi langkah proaktif yang benar- benar boleh memberi kita keyakinan menjurus ke arah pekerjaan itu diselamatkan.
“Apa yang saya lihat langkah dan kerangka yang sepatutnya dilakukan tidak dilakukan. Malah kerangka atau langkah itu sebaiknya dibahaskan di Parlimen untuk ditambah baik.
“Bagaimana kerajaan boleh mendakwa ekonomi akan pulih menjelang tahun hadapan (dan sektor pekerjaan kukuh)? Kita tak boleh target kononnya ekonomi akan pulih sepenuhnya,” kata Abdullah lagi.
Untuk rekod, pengangguran di Malaysia pada April melonjak 5%, mengatasi kadar purata tahunan untuk tempoh 30 tahun terakhir.
Berdasarkan laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia bagi bulan April 2020, kadar pengangguran mencatatkan jumlah penduduk tiada pekerjaan meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, kepada 778,800 orang.
Punca gelombang pengangguran adalah penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April lalu
Kajian juga menunjukkan jumlah penduduk negara yang memiliki pekerjaan menurun 156,400 orang menjadi 14.93 juta pada April berbanding setahun lalu.