SEMUA PM MEWAKILI GABUNGAN PARTI PELBAGAI KAUM, TIADA SEBAB ANWAR DARI PKR TIDAK BOLEH DITERIMA



Alasan pokok yang digunakan oleh Tun Mahathir Mohamad untuk mencadangkan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri PH Plus ialah kerana Anwar Ibrahim yang merupakan pesaingnya dianggap tidak boleh diterima bagi jawatan itu kerana memimpin sebuah parti pelbagai kaum.

Dengan itu, kata Tun Mahathir, beliau perlu menjadi Perdana Menteri terlebih dahulu selama enam bulan sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

Dalam mesyuarat PH Plus pada 9 Jun lalu, Anwar lantas berhujah bahawa jika itu alasannya, pada enam bulan akan datang di mana peralihan kuasa berlaku seperti yang dijanjikan kepadanya, ketika itu beliau masih lagi memimpin PKR yang merupakan sebuah parti berbilang kaum.

Walaupun Tun Mahathir dilaporkan tidak mampu menyanggah hujah Anwar itu, tetapi alasan itu bukan saja menggambarkan isi hati sebenarnya tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar setelah memegangnya selepas enam bulan nanti, tetapi yang lebih penting ialah menyerlahkan sifat perkauman yang tebal dalam diri bekas Pengerusi Bersatu itu, walau dalam banyak keadaan selalu menyeru agar bibit-bibit perkauman hendaklah dihindarkan.

Beliau nampaknya cuba memainkan sentimen kaum dan menonjolkan isu ketuanan Melayu dalam hujahnya, walhal hakikat sebenarnya semua itu hanyalah untuk kepentingan dirinya semata-mata.

Kenapa baru sekarang isu kedudukan Anwar memimpin parti pelbagai kaum dibangkitkan, sedangkan sebelum ini tidak berbangkit sama sekali?

Tun Mahathir dalam hal ini seolah-olah terlupa bahawa semua Perdana Menteri sebelum ini adalah mewakili sebuah gabungan parti-parti pelbagai kaum untuk memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan.

Bermula dengan Perikatan, BN, PH dan PN – semuanya adalah gabungan yang mengandungi parti-parti pelbagai kaum di dalamnya.

Bolehkah UMNO, Pas atau Bersatu secara sendirian menjadi parti yang mampu membentuk kerajaan?

Kenapakah ditubuhkan Perikatan, BN, PH dan PN ketika mahu memenangi pilihanraya dan sewaktu menubuhkan kerajaan?

Tidakkah ia menunjukkan bahawa untuk memenangi pilihanraya dan menubuhkan kerajaan, menampilkan gabungan yang menggambarkan kemajmukan kaum adalah mustahak bagi memastikan kerajaan yang dibentuk benar-benar stabil?

Maka itu, apa masalahnya kalau Anwar selaku Presiden PKR, sebuah parti pelbagai kaum dipilih menjadi Perdana Menteri?

Lagi pun, bukankah logo PKR yang bertanding dalam PRU14 telah diberi kemenangan oleh pengundi yang memperlihatkan kedudukannya sebagai parti pelbagai kaum sudah pun dapat diterima dengan baik oleh rakyat?

Selain itu, apa yang mustahak, walaupun PKR merupakan parti pelbagai kaum, ia masih merupakan sebuah parti yang majoriti pemimpin serta diketuai oleh orang Melayu.

Dalam erti kata lain, gambaran kepimpinan atau kemajmukan yang ada dalam PKR adalah tidak ubah seperti kemajmukan yang ada dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Dengan itu, PKR di mana Anwar selaku Presidennya dan jika dipilih sebagai Perdana Menteri, adalah gambaran yang realistik, sesuai dengan kedudukan kaum yang berbagai yang hidup aman damai di negara ini, tetapi tetap meletakkan pemimpin Melayu sebagai ketuanya.

Yang sebetulnya, Tun Mahathir tidak setuju dengan Anwar kerana kedudukannya memimpin parti pelbagai kaum atau disebabkan ada dendam terpendam terhadap diri Presiden PKR itu sendiri? (Shahbudindotcom 24/06/2020)

No comments: