Baru setahun, MB perak jual Camry, beli Lexus

Baru setahun, MB perak jual Camry, beli Lexus





Setahun selepas membuat pembelian kereta Toyota Camry untuk kegunaan kerajaan Negeri, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dikatakan telah menjual kenderaan rasminya dan ditukar kepada kereta jenis sedan Lexus ES.
Kereta berwarna putih baharu itu dilihat semasa lawatannya ketika pembukaan sekolah di SMK Methodist (P) dan SMJK Sam Tet pagi tadi.
Seperti dilaporkan The Star, Faizal berkata bahawa beliau telah memberikan Camrynya kepada Anggota Majlis Eksekutif Negeri.
“Kami mendapat potongan harga antara RM40,000 hingga RM50,000 untuk kereta tahun 2019.
“Kereta ini pada mulanya berharga sekitar RM300,000, dan kami mendapatkannya sekitar RM200,000.
“Kereta itu milik negeri, kita masih mampu membeli,” katanya.
Pada 20 Jun tahun lalu, Kerajaan Perak di bawah Pakatan Harapan membuat pembelian 16 kereta Toyota Camry bagi kegunaan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pembelian tersebut bagi menggantikan penggunaan kereta rasmi lama iaitu Proton Perdana yang sudah diguna sejak 2014.
Kerajaan negeri ketika itu dilaporkan membelanjakan kira-kira RM1.74 juta iaitu RM109,000 bagi setiap model Toyota Camry.
Untuk rekod, Kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terbubar selepas Ahmad Faizal melepaskan jawatan Menteri Besar Perak ke-12 pada 10 Mac lalu.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak, bagaimanapun mengekalkan kedudukannya sebagai Menteri Besar ke-13 selepas mengumumkan menyokong pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

No comments: