MAHATHIR SAH TAMAK KUASA, DAP DAN AMANAH HARUS SEGERA TINGGALKANNYA



Pengumuman Tun Mahathir Mohamad untuk terus mengejar jawatan Perdana Menteri – buat kali yang ketiga – meskipun tidak mahu lagi bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan PKR, hakikatnya hanya menyerlahkan gila kuasanya bekas Pengerusi Bersatu itu.
Kata Tun Mahathir, beliau kini tidak mahu lagi bekerjasama dengan Anwar dan akan meninggalkan PH Plus kerana Presiden PKR itu sudah tidak mahu bekerjasama dengannya.
“Tetapi saya akan terus bersama DAP dan Amanah untuk mencari jalan lain bagi menjadi Perdana Menteri buat yang ketiga.
“Mungkin ada beberapa jalan lain untuk tujuan itu,” tambahnya lagi.
Membaca kenyataan Tun Mahathir ini, tidak ada orang yang tidak geleng kepala dengan sikap dan ketamakannya.
Apa lagi yang dimahukannya dalam hidup di dunia ini?
Apakah Tun Mahathir sudah lupa pesanan arwah ibunya agar berhenti makan sebelum kenyang?
Kenapakah sekarang ini, dalam usinya yang semakin tua, beliau asyik lapar dan mahu makan saja serta tidak pernah kenyang-kenyang?
Sepatutnya beliau kini sedar apabila Anwar tidak mahu lagi bekerjasama dan menyokongnya, itulah titik penamat dalam perjuangannya untuk terus menjadi Perdana Menteri.
Sudah dua kali berpeluang menjadi Perdana Menteri, apa lagi yang mahu dikejarnya?
Tun Mahathir kini seharusnya berlapang dada menyokong Anwar pula menjadi Perdana Menteri sebagai membalas jasa dan pengorbanan keluarga Presiden PKR itu dan PH dalam menyokongnya selama ini.
Lagi pula, dengan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri, ia sekaligus melorongkan laluan lebih terbuka untuk anaknya sendiri, Mukhriz menapak lebih jauh dalam kerjaya politiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, seterusnya bakal Perdana Menteri suatu hari nanti.
Malangnya, dengan kekal keras hati untuk menjadi Perdana Menteri juga buat kali ketiga, Tun Mahathir bukan saja menyerlahkah ketamakan kuasa untuk dirinya, bahkan kedekut terhadap anaknya sendiri.
Sesungguhnya, sukar membayangkan masih ada bapa yang bersikap sedemikian tamak dan kedekut kepada anaknya sendiri.
Apa yang nyata di sini, sikap dan perilaku Tun Mahathir ini, selain menunjukkan ketamakan kuasanya, tidak diragui beliau benar-benar ingin menghalang kemaraan Anwar daripada menduduki kerusi Perdana Menteri.
Dengan yang demikian, pendirian Anwar menolak untuk terus bekerjasama dan menyokong Tun Mahathir adalah keputusan yang tepat kerana jika dibenarkan menjadi Perdana Menteri selama enam bulan lagi, pastilah kerja utamanya nanti hanya mencari jalan untuk melengah-lengahkan janji peralihan kuasa sekali lagi.
Akhirnya Anwar akan terus terhina dan dipermainkan-mainkan begitu saja.
Yang malang di sini, meskipun telah ditolak oleh Anwar, dalam usahanya untuk mengejar ketamakan menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, Tun Mahathir tetap ingin membawa DAP dan Amanah untuk terus menyokongnya.
Ini dengan jelas memperlihatkan beliau sekali lagi ingin memecah-belahkan PH dan dengan apa cara sekali pun, tujuan akhirnya ialah ingin menghalang Anwar daripada berpelung menduduki kerusi Perdana Menteri.
Maka, DAP dan Amanah tidak harus membuang masa dan berfikir panjang lagi dalam menetapkan pendirian masa depan mereka.
Lupakan Tun Mahathir dan terus kekal mengukuhkan PH, biarkan saja beliau “mati kering” keseorangan dalam pemburuan angan-angannya yang tak kesampaian.

(Shahbudindotcom 24/06/2020)



No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

LAPORAN POLIS TERHADAP PROF KANGKUNG.STEVEN HARUS SAMAN .

  Hariz Zafrie Laporan polis telah dibuat terhadap seorang profesor berhati jahat yg mencetuskan kebencian antara kaum..