Sunday, April 5, 2020

KENYATAAN MEDIA




1. Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin merujuk kepada sepucuk surat berbahasa Arab yang tular di media sosial beberapa hari ini. Surat bertarikh 22 Mac 2020 yang menggunakan kepala surat (letterhead) Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan ditandatangani oleh Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang. Difahamkan, surat ini ditujukan kepada para pemimpin gerakan Islam di seluruh dunia khususnya di negara-negara Arab.

2. AMANAH menyatakan kekesalan dan terkilan dengan kandungan surat tersebut  yang penuh dengan dakwaan dan tohmahan tidak berasas, palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.

3. Jelas di dalam surat tersebut Abdul Hadi cuba memberikan gambaran yang salah tentang kedudukan dan suasana politik di Malaysia. Difahamkan bahawa penjelasan Abdul Hadi yang mengelirukan ini dibuat selepas terdapat dalam kalangan para pemimpin gerakan Islam seluruh dunia yang mempersoalkan kewajaran tindakan dan sikap politik PAS akhir-akhir ini.

4. Abdul Hadi juga secara tidak bertanggungjawab dengan sengaja melabel parti komponen Pakatan Harapan dengan istilah yang buruk supaya dilihat  menyeleweng dan memusuhi Islam.

5. Abdul Hadi turut mendakwa kononnya Pakatan Harapan telah dikuasai golongan bukan Islam, berada di bawah pengaruh Komunis dan Kristian serta disokong oleh Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan gerakan Freemason.

6. Selain itu, Abdul Hadi telah menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai seorang ‘sekular  pragmatik yang berbahaya’ dan buruk karakter peribadi dan akhlaknya. Anwar juga difitnah sebagai pemimpin kepada golongan yang memusuhi Islam dan beliau disokong oleh DAP yang digambarkan sebagai parti Kristian.

7. Terhadap AMANAH pula, Abdul Hadi telah menuduh parti ini sebagai sebuah parti Islam Liberal dan Sekular yang ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim dan juga pimpinan DAP. Beliau turut menggelar mereka yang bersama AMANAH sebagai kelompok yang tergesa-gesa dan juga oportunis yang telah keluar daripada PAS

8. Kesemua tuduhan ini dibuat bagi menegakkan hujah Abdul Hadi dan  meyakinkan penerima surat kononnya Pakatan Harapan merupakan musuh dan ancaman kepada Islam.

9. Berdasarkan hujah dangkal itu, Abdul Hadi cuba menjustifikasi tindakan PAS memimpin usaha pembentukan kerajaan pintu belakang yang tidak bermaruah itu.

10. Tuduhan Abdul Hadi kononnya wujud konspirasi dalaman untuk menjatuhkan
Tun Dr Mahathir Mohamad yang pro-Islam bagi memastikan golongan anti-Islam berkuasa sehingga PAS dan sekutunya terpaksa ambil alih kerajaan, adalah rekaan dan khayalan semata-mata.

11. Hakikatnya, kerajaan Pakatan Harapan berdiri teguh bersama kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan tegas mempertahankan kedudukan agama Islam  sebagai agama persekutuan. Kerajaan Pakatan Harapan turut meletakkan kepentingan Islam dan umat Islam sebagai agenda penting kerajaan. Banyak pembaharuan bagi pengukuhan pentadbiran Islam telah dilaksanakan dalam tempoh singkat 22 bulan.

12. PAS yang tidak mampu membawa mesej politik Islam dalam suasana negara Malaysia yang berbilang kaum telah memilih jalan perkauman dan menyerang pendekatan politik berbilang kaum sebagai musuh kepada Islam dan Melayu. Ini merupakan satu perubahan haluan politik yang dibawa oleh Abdul Hadi ke
dalam perjuangan PAS itu sendiri.

13. Disebabkan perubahan haluan dan prinsip politik, PAS turut sanggup mempertahankan dan bekerjasama dengan UMNO yang telah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia yang berpunca daripada skandal penyelewengan
wang rakyat dan rasuah yang berleluasa. Kerjasama ini telah lama diusahakan, iaitu sejak sebelum PRU ke-14 lagi. Ianya bukan perkara baharu seperti didakwa di dalam surat ini.

14. Haji Abdul Hadi juga telah mengambil sikap melulu dan tidak bertanggungjawab dengan membuat tuduhan bahawa ada negara-negara
luar tertentu campur tangan dalam politik Malaysia. Ini adalah tuduhan yang berat yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara yang dibabitkan.

15. Kebimbangan AMANAH adalah tuduhan rambang dan tidak berasas Abdul Hadi terhadap negara-negara tersebut berisiko meningkatkan salah faham sekaligus menjejaskan hubungan diplomatik antara negara.

16. AMANAH menyeru rakyat Malaysia untuk menolak corak politik fitnah, permusuhan dan adu domba yang tidak berakhlak ini. Sikap dan kelakuan Abdul Hadi boleh dinamakan 'gutter politics" atau politik longkang tidak lagi layak dilayani apatah lagi diikuti.

17. AMANAH menyeru kepada ahli dan pimpinan PAS untuk meninggalkan PAS  beramai-ramai. PAS telah jauh terpesong dari dasar perjuangan Islamnya dan sekarang ini merupakan parti Machievelli yang menganggap matlamat menghalalkan cara. Ini termasuk menipu, memfitnah, adu-domba, perkauman dan merompak harta rakyat.

KHALID BIN ABD.SAMAD
Pengarah Komunikasi

Tarikh 5 April 2020


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers