NEW DELHI: Pihak berkuasa lapangan terbang India pada Ahad tidak membenarkan 8 rakyat Malaysia menaiki penerbangan evakuasi dari New Delhi kerana disyaki mengambil bahagian dalam perhimpunan agama di bandar itu bulan lalu.
Pada 2 April, seramai 960 warga asing termasuk rakyat Malaysia disenarai hitam Kementerian Dalam Negeri India kerana menyertai perhimpunan Tablighi Jamaat.
Lapan rakyat Malaysia itu tinggal di beberapa kawasan berasingan di New Delhi dan mendaftar menaiki penerbangan evakuasi warga asing yang terkandas, kata seorang yang mengenali mereka.
Polis New Delhi memindahkan puluhan rakyat Malaysia bersama warga asing lain dari ibu pejabat jemaah tabligh yang juga dikenali sebagai markas.
Mereka kini ditempatkan di kemudahan kuarantin sementara untuk mengekang penularan Covid-19.
Ramai rakan dan keluarga mereka yang kembali ke Malaysia mendakwa pusat pengasingan itu tidak bersih dan kekurangan makanan serta perubatan sewajarnya.