Malaysia mesti sedia lakukan ‘total reset’ hadapi Covid-19, kata Tok Mat


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan ‘ad hoc’, sebaliknya perlu sentiasa bersiapsiaga mendahului masa bagi menghadapi ancaman bukan tradisional.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, Malaysia mesti bersedia melakukan “total reset” dalam memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya dalam berdepan kesan krisis wabak Covid-19.
Beliau berkata, sebelum ini orientasi ekonomi negara adalah berdasarkan kebolehsaingan dan pendapatan tinggi, tetapi keutamaan masa kini ialah membangunkan ketahanan ekonomi.
“Kita mesti kembali membongkar potensi modenisasi ekonomi tradisional dan sektor pertumbuhan ‘crisis proof’ untuk kelangsungan ekonomi kita.
“Jika sebelum ini, rencana ekonomi kita ialah merangsang pertumbuhan. Sekarang, kita mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari.
“Semua ini memerlukan inovasi, pemikiran luar kelaziman dan pendekatan ekonomi yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres baru-baru ini yang menggambarkan bahawa krisis Covid-19 yang dihadapi pada waktu ini adalah krisis paling parah dan mencabar semenjak Perang Dunia Kedua.
Guterres dilaporkan berkata bahawa kombinasi ancaman kesihatan dan impaknya terhadap ekonomi akan menyumbang kepada “ketidakstabilan berterusan, ketidaktenteraman berterusan dan konflik berterusan”.
Pendemik global ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Ia akan berlarutan sehingga sekurang-kurangnya setahun ke 18 bulan akan datang, katanya.
Mohamad berkata, Malaysia juga mesti memberi tumpuan untuk merombak secara radikal sistem penyampaian kerajaan.
Beliau berkata peralihan kepada kerajaan digital secara total bukan lagi satu pilihan, tetapi menjadi satu kemestian.
“Tidak lagi boleh kita membiarkan sistem penyampaian kita lumpuh ketika berhadapan dengan krisis.
“Contoh yang paling nyata ialah apabila sekolah terpaksa ditutup dan bagaimana kita tidak boleh beranjak ke ‘online mode’ dengan pantas dan segera.
“Akhirnya banyak sekali masa pembelajaran yang terbuang dan gagal dimanfaatkan,” katanya.
Mohamad juga berkata, kerajaan hendaklah secara serius membangunkan kefahaman dan kesiapsagaan bagi menghadapi ancaman bukan tradisional terhadap keselamatan negara.
Katanya, pandemik, serangan siber, bencana alam dan pelbagai lagi krisis yang mengancam kemanusiaan adalah ancaman nyata.
“Malah Malaysia akan lebih terdedah kepada semua ancaman bukan tradisional ini, berbanding dengan peperangan atau konflik antara negara.
“Namun, terlalu banyak sumber diperuntukkan kepada sektor pertahanan dan keselamatan tradisional sehingga pelaburan dalam kesediaan menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional diabaikan,” katanya.
Mohamad juga berkata, kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan ‘ad hoc’, sebalik perlu sentiasa bersiapsiaga mendahului masa,
“Pusat kebangsaan serupa ‘Centre for Disease Control and Prevention’ di AS sudah menjadi satu keperluan nasional dan mesti diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, bagi menghadapi krisis masa hadapan, Malaysia juga perlu mengutamakan kerjasama erat di peringkat antarabangsa.
Katanya, Covid-19 mengajar kita betapa ia hanya boleh dibanteras melalui kerjasama erat antarabangsa.
“Justeru kita mesti mempergiatkan keterlihatan Malaysia dalam segala segi agar kita mempunyai ‘network’ yang produktif dan boleh dimanfaatkan sewaktu krisis.
“Justeru, Malaysia mesti kembalikan keyakinan setiap warganya dan menggelorakan keperkasaan jiwa dan raga mereka untuk menjayakan negara pasca pandemik ini,” katanya.


No comments: