Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes rasuah projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion dijangka menjadi prosiding yang menarik perhatian minggu ini.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya menetapkan hari ini hingga 23 Oktober ini bagi mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu terhadap sabitan dan hukuman disabitkan ke atasnya.
Pada 19 September lalu, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azahari Kamal Ramli membenarkan Rosmah mengemuka bukti tambahan membabitkan saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah, ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Mahkamah sebelum itu menetapkan 4 hingga 16 Oktober lalu dan 19 hingga 23 Oktober untuk mendengar rayuan Rosmah.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, selain denda keseluruhan RM970 juta.
Bagaimanapun, ketiga-tiga hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak. Ini bermakna Rosmah perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun sekiranya sabitan dan hukuman tersebut kekal.
Mengikut pertuduhan, Rosmah didapati bersalah meminta suapan RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Isteri Najib itu turut disabitkan atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan tersebut berkaitan usaha membantu Jepak Holdings memperoleh projek pembekalan tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan.
Selepas keputusan itu, Rosmah memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan pembayaran denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan selesai.
Sehingga kini, sabitan terhadap Rosmah, 75, masih berkuat kuasa. Bagaimanapun, keputusan muktamad rayuannya belum dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

No comments:
Post a Comment