Kemelut takhta Negeri Sembilan terus berlarutan apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) memfailkan permohonan baharu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan 16 individu lain.
Permohonan itu dikemukakan DKU bersama setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, di Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Oktober lalu.
Selain Ismail, individu yang dinamakan termasuk 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan enam plaintif dalam pertikaian undang-undang membabitkan DKU.
Enam individu berkenaan ialah tiga Undang yang dipertikaikan, iaitu Datuk Mubarak Thahak, Datuk Maarof Mat Rashad dan Datuk Abd Rahim Yasin.
Turut dinamakan ialah Undang Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Dalam permohonan itu, DKU menegaskan bahawa kesemua 17 individu terbabit telah melanggar atau menjejaskan perintah injunksi Mahkamah Tinggi bertarikh 5 Jun lalu.
Injunksi berkenaan melarang enam plaintif membuat atau melaksanakan sebarang keputusan berkaitan pentadbiran dan hal ehwal DKU.
Mereka juga dilarang mengambil tindakan yang boleh mengubah kedudukan DKU seperti sebelum 21 Mei lalu.
Mempertahankan kesahihan
Bagaimanapun, DKU mendakwa enam plaintif terbabit terus berusaha melaksanakan pengisytiharan bertarikh 19 April mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Malah, mereka didakwa mempertahankan kesahihan pengisytiharan itu menerusi beberapa kenyataan media dan sidang akhbar antara 5 September hingga 11 Oktober lalu.
Dalam pada itu, DKU turut mempersoalkan tindakan Ismail bersama 10 bekas EXCO yang secara sedar melaksanakan pengisytiharan berkenaan.
Antara tindakan dibangkitkan ialah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 15 September lalu.
Pemohon mendakwa mesyuarat itu membuat keputusan kolektif bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diturunkan daripada takhta.
Pada masa sama, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar didakwa diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Menurut pemohon, keputusan tersebut merupakan campur tangan dalam pentadbiran DKU, sekali gus didakwa melanggar injunksi mahkamah.
DKU turut merujuk surat Ismail bertarikh 17 September kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Surat berkenaan didakwa mengulangi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta memohon supaya perkara itu dibawa kepada pengetahuan Raja-Raja Melayu.
Sehubungan itu, DKU memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap semua individu yang dinamakan.

No comments:
Post a Comment