Tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu diumumkan bermula RM125 sehala, dengan warga emas berusia 60 tahun ke atas menikmati diskaun sebanyak 50 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kadar tambang kelas Ekonomi itu membabitkan perkhidmatan Transit, manakala tambang Ekspres bagi laluan sama sejauh 523 kilometer bermula RM147.
Menurutnya, struktur tambang berkenaan diluluskan Jemaah Menteri pada 16 Oktober lalu dengan menggunakan mekanisme tambang dinamik yang mengambil kira waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
“Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang Transit bermula RM95, manakala Ekspres RM110,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman struktur tambang ECRL di Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.

Bagi perjalanan Gombak ke KotaSAS, Pahang pula, tambang Transit ditawarkan bermula RM60, manakala Ekspres RM68 sehala.
Dalam pada itu, kerajaan turut meluluskan potongan tambang sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) serta pesara kerajaan.
Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun sebanyak 40 peratus sebagai sebahagian usaha memperluas akses pengangkutan awam kepada pelbagai golongan masyarakat.
Darwis menjelaskan, perkhidmatan Ekspres hanya berhenti di empat stesen utama iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu, dengan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dijangka mengambil masa kira-kira empat jam.
Perkhidmatan Transit pula akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan dengan tempoh perjalanan sehingga lima jam.
Penjualan tiket rasmi ECRL dijangka bermula pada pertengahan November ini, manakala operasi komersial bagi laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula pertengahan Disember 2026.
Maklumat lanjut mengenai kadar tambang, jadual perjalanan dan penjualan tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi ECRL di www.ecrl.com.my.

No comments:
Post a Comment