Apa yang berlaku kat Eropah sekarang?

 






Apa yang berlaku kat Eropah sekarang?

Ramai terkejut tengok video protes besar-besaran. Jalan raya berasap. Bangunan bersejarah dibakar.
Tapi kalau ikutkan, tak ada apa yang nak dihairankan sangat. Lebih-lebih lagi Perancis.
Hampir tiap-tiap tahun ada protes dan rusuhan macam ni kat Perancis. Orang Perancis ni secara fitrahnya memang suka protes.
Negara diorang lahir daripada revolusi. Kalau tak protes, bukan orang Perancis namanya.
Rata-rata bangsa Eropah Barat yang lain pun suka protes. Itali, Jerman, mahupun Belgium, kalau kita belek sejarah diorang balik, memang semuanya berakar daripada revolusi.
Revolusi atau protes gaya Eropah ni bukan sekadar angkat sepanduk, jerit-jerit slogan, guling-guling, selesai, balik rumah.
Tujuan diorang adalah nak buat kerajaan tunduk dan terpaksa buat perubahan dasar.
Sebab tu aksi protes orang Eropah lebih ganas. Dan bila keganasan berlaku, polis sibuk nak kawal keadaan.
Bila polis dah sibuk, maka ada kelompok yang ambil kesempatan. Merompak. Merosakkan harta benda. Sebab tu keadaan nampak huru-hara sangat.
Punca kepada gelombang protes kali ni sebenarnya bermula daripada masalah sekolah.
Asalnya, cikgu-cikgu dan pelajar protes pasal isu sekolah awam tak cukup kelas, dan kekurangan cikgu secara kritikal.
Kenapa semua benda tak cukup? Sebab kerajaan cakap tak ada duit, kena potong peruntukan semua.
Timbul persoalan: Kenapa negara maju macam Perancis, tiba-tiba boleh tak ada dana untuk sekolah awam?
Dia sebenarnya bukan soal tak ada duit, tapi soal keutamaan (prioritisation).
Sejak hampir sedekad yang lepas, Perancis diperintah oleh Emmanuel Macron yang berpegang pada neoliberalisme.
Neoliberal ni adalah satu falsafah ekonomi yang melihat sektor swasta sebagai punca kemakmuran sesebuah negara.
Dalam kepala otak pendukung neoliberal, untuk bagi sektor swasta ni maju, segala peraturan dan birokrasi kerajaan perlu dimansuhkan bagi mencapai pasaran bebas yang mutlak.
Dan yang paling penting: potong cukai ke atas syarikat-syarikat, terutamanya syarikat korporat besar. Kononnya langkah ini akan mengurangkan kos perniagaan.
Bila kos perniagaan rendah, maka perniagaan akan dapat lebih banyak untung. Bila untung banyak, perniagaan akan berkembang.
Gaji pekerja pun akan naik. Kemakmuran itu akhirnya "menitik ke bawah" (trickle down) daripada korporat kepada rakyat. Itulah teori kemakmuran neoliberal.
Tapi masalahnya, bila kerajaan asyik potong cukai korporat, macam mana kerajaan nak ada duit untuk belanja macam-macam? Untuk baiki sekolah awam? Untuk bayar gaji cikgu?
Jawapan golongan neoliberal: Kerajaan tak perlu belanja.
Dalam kerangka pemikiran neoliberal, peranan kerajaan ni tak perlu wujud pun dalam urusan ekonomi. Semua perbelanjaan kerajaan dianggap sebagai tak cekap dan membazir.
Bagi diorang, semua benda sepatutnya diswastakan, termasuklah bekalan air dan telekomunikasi yang asalnya merupakan hak milik kerajaan.
Begitu juga dengan pendidikan. Neoliberal menganggap pendidikan akan jadi jauh lebih cekap kalau diswastakan. Perbelanjaan untuk sekolah awam dipotong sikit demi sikit sampai jadi daif.
Falsafah ni dipanggil neoliberal (liberal baharu) sebab diorang menghidupkan semula teori ekonomi liberal klasik Adam Smith dan David Ricardo abad ke-18 dulu, yang mengagungkan pasaran bebas tanpa campur tangan negara.
Ekonomi liberal klasik ni pernah dianggap salah selepas kebangkitan teori ekonomi Keynesian (daripada John Maynard Keynes).
Falsafah Keynesian ni pulak berpandangan sebaliknya. Diorang melihat kalau sektor swasta dibiarkan bebas tanpa kawalan, ekonomi negara akhirnya akan hancur.
Jadi, bagi Keynesian, kerajaan yang kena kawal pasaran. Tapi bukan kawal cara komunis. Cuma diorang percaya kerajaan kena berani buat deficit spending (berbelanja lebih untuk suntik ekonomi) dan naikkan cukai ke atas sektor swasta dan orang kaya.
Keynesian menganggap kerajaan tak perlu malu-malu atau takut nak buat semua tu, sebab itu memang fungsi hakiki sebuah kerajaan.
Habis macam mana dengan hutang kerajaan? Keynesian kata tak payah risau selagi ekonomi berkembang.
Tak buat deficit spending, ekonomi jahanam, bajet seimbang pun tak ada gunanya lagi.
Falsafah Keynesian ni pernah mendominasi ekonomi dunia selama 30 tahun. Negara-negara maju termasuk Perancis, US, dan Jepun semuanya mempraktikkan Keynesianisme dari tahun 1950-an sampai 1970-an.
Tapi Keynesianisme ini mula dibuang selepas tahun 1970-an, dan digantikan oleh neoliberalisme.
Sejak tu, kerajaan di negara-negara maju mula memotong bajet kebajikan, memotong subsidi, dan kurangkan cukai korporat.
IMF dan Bank Dunia tu pula tukang nak memastikan negara-negara sedang membangun pun ikut dasar neoliberal.
Neoliberal ni ialah falsafah ekonomi, bukannya pegangan sosial. Tak semestinya kalau kau bukan seorang yang liberal dari segi sosial, maka kau tak boleh jadi neoliberal.
Orang yang konservatif, atau orang yang kuat agama pun boleh jadi ejen neoliberal kalau dasar-dasar ekonomi yang dia sokong itu berpaksi kepada pasaran bebas mutlak, penswastaan, dan penjimatan perbelanjaan awam (austerity).
Kat Eropah, neoliberalisme ni memang didukung kuat oleh parti-parti konservatif atau parti sayap kanan.
Macron ni menggelar diri dia sebagai seorang centrist (aliran tengah). Tapi apa yang dimaksudkan dengan "tengah" oleh dia ni bukanlah bermakna dia jenis yang atas pagar (tak kiri dan tak kanan).
Cuma, dari segi isu sosial dia condong ke sayap kiri (sokong kebebasan individu), tapi dari segi ekonomi dia condong habis ke sayap kanan atau neoliberal.
Sebab tu sepanjang dia memerintah, isu domestik tak pernah tenang.
Beberapa tahun lepas, kita tengok ada protes Yellow Vest (Gilets Jaunes) yang melumpuhkan Perancis pasal isu cukai minyak.
Bila neoliberal ni sembang nak potong cukai, biasanya itu hanya terpakai untuk cukai korporat dan orang kaya.
Bab cukai pengguna atau rakyat marhaen macam cukai minyak ni, diorang sanggup pulak naikkan dengan alasan nak mengimbangi bajet (balance the budget).
Dan kali ni, walaupun asalnya cuma protes isu sekolah awam, tapi disebabkan tekanan kos sara hidup yang makin menghimpit, semua orang yang tak puas hati dengan dasar ekonomi Macron pakat turun padang sekali.
Ditambah pula dengan keadaan kerajaan-kerajaan Eropah lain yang di bawah telunjuk Kesatuan Eropah (EU) yang memang berpaksi kepada acuan neoliberal, maka protes meletup serentak satu Eropah.
Situasi ini diambil peluang oleh gerakan right-wing (sayap kanan) populis yang anti-imigran. Diorang petik isu imigran sebagai punca huru-hara dan kemiskinan negara.
Plstn pun jadi mangsa. Sebabnya, bila golongan kiri ni turun protes, segala jenis simbol diorang akan usung sekali. Daripada simbol anarki, simbol komunis, sampailah ke bendera Plstn.
Jadi, benda ni terus dijadikan modal oleh golongan right-wing untuk buat propaganda. Kononnya protes ini didalangi puak pro-Plstn yang sengaja nak huru-harakan negara.
Tapi punca akar kepada segala kekacauan ini ialah sistem neoliberalisme itu sendiri yang memihak kepada kapitalis korporat.
Marhaen kat bawah ni pulak yang duk sibuk gaduh sesama sendiri pasal isu perkauman dan imigrasi.
Tanpa memahami neoliberalisme, kita tak akan dapat memahami cara dunia hari ini berfungsi.
Kat Malaysia, tak banyak perbincangan mendalam pasal benda ni. Influenza kita asyik duk cerita masalah sifat bangsa lah, sifat pemimpin lah.
Jarang nampak pandangan kritikal yang bedah isu dari sudut ekonomi-politik (political economy).
Malah yang kelakarnya, ramai daripada kita tanpa sedar dah jadi "hamba" pemikiran neoliberal.
Contohnya, bila pasaran kewangan kecoh pasal Indonesia kena turun taraf oleh MSCI disebabkan dasar yang lebih nasionalis dan intervensionis (campur tangan negara), ramai kita pakat pergi perli dan ejek.
Kita pun pernah kena downgrade oleh MSCI pada tahun 1998 tuan-tuan. Apa nak bangga sangat dengan MSCI tu ooi.
Sebab tu ilmu ekonomi-politik ni satu kemestian.
Bukan ilmu ekonomi dan ilmu politik. Tapi ilmu yang melihat bagaimana ekonomi dan politik saling mempengaruhi satu sama lain.
Semua ni akan diterangkan dalam buku SANG KAPITALIS yang akan diterbitkan tahun depan. Buku yang akan akan terangkan bagaimana ekonomi kapitalis (termasuk neoliberalisme) membentuk dunia kita hari ni.







No comments: