Gerakan Rakyat Malaysia Anti Pendatang Tanpa Izin(GERAM@PATI)
Kerajaan Kelantan mengambil tindakan menyita sebuah ladang sireh yang dipercayai diusahakan komuniti etnik Rohingya di Kampung Padang Guchil, Khamis lalu. Sebuah kediaman yang masih dalam pembinaan turut disita.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, siasatan mendapati tanah itu disewa daripada penduduk tempatan pada kadar RM2,000 setahun, manakala kediaman berkenaan disewa dengan bayaran RM300 sebulan.
Menurutnya, syarat nyata bagi lot tanah terbabit adalah untuk tanaman getah dan dusun. Oleh itu, kerja pembersihan tanah bagi tujuan ladang diarahkan dihentikan kerana tiada kebenaran merancang, selain pembinaan bangunan yang dipercayai untuk dijadikan stor.
Ketika pemeriksaan, empat individu Rohingya berada di lokasi. Hanya seorang mengemukakan kad UNHCR, manakala tiga lagi tidak menunjukkan sebarang dokumen.
Kerajaan negeri turut merekodkan keterangan pemilik tanah dan kediaman, yang kedua-duanya merupakan pesara guru dan tidak lagi menetap di kampung berkenaan.
Isu itu sebelum ini mencetuskan keresahan penduduk apabila ladang sireh seluas lebih dua hektar dilaporkan telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu.
Penduduk turut mendakwa jumlah komuniti Rohingya di kawasan itu meningkat daripada kira-kira 15 orang lebih 10 tahun lalu kepada hampir 100 orang.


No comments:
Post a Comment