
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan persembahan konsert Siti Nurhaliza dalam suasana hujan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober 2026.
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kira-kira 63,000 peminat menyaksikan persembahan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kehadiran Anwar memeriahkan konsert berlangsung dalam suasana hujan dengan beliau dilihat memakai baju hujan ketika menikmati persembahan bersama penonton lain.
Persembahan bermula 8.30 malam itu menyaksikan peminat tetap memenuhi stadium dan bertahan meskipun hujan turun sepanjang acara, sekali gus memperlihatkan sokongan mereka terhadap penyanyi tersohor berkenaan.
Siti, yang menyedari kehadiran Perdana Menteri, merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana meluangkan masa menghadiri konsert berkenaan walaupun mempunyai jadual tugas yang padat.
“Kami berbesar hati menyambut kehadiran Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terima kasih kerana sudi hadir memeriahkan konsert muzik tradisional terbesar saya,” katanya ketika berada di pentas selepas menyampaikan persembahan duet bersama penyanyi jemputan, Haziq Rosebi.
Anwar turut dilihat duduk bersebelahan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, ketika menyaksikan persembahan yang mengangkat muzik tradisional dan warisan Nusantara itu.
Siti turut berseloroh mengenai hujan yang membasahi penonton, sambil menyifatkan penganjuran konsert berkenaan sebagai impian yang akhirnya berjaya direalisasikan di stadium terbesar negara.
“Walau apa pun, ini impian yang menjadi kenyataan buat saya. Saya sendiri tidak pasti bila lagi impian ini dapat direalisasikan.
“Akhirnya, ia terlaksana di sini, di stadium terbesar negara,” katanya yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh penonton.
Konsert Gema Bumantara turut menampilkan barisan artis jemputan, termasuk Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta penyanyi Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.
Menerusi persembahan selama tiga jam yang menampilkan lebih 30 lagu klasik, Siti turut mengetengahkan keunikan muzik tradisional menerusi persembahan tarian zapin, wayang kulit dan busana warisan.
Konsert itu diadakan sembilan bulan selepas Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di lokasi sama pada 10 Januari lalu, dengan kehadiran 65,000 peminat.
Selain menjadi tanda penghargaan kepada peminat, Gema Bumantara turut membawa misi menghidupkan dan memperkukuh apresiasi terhadap muzik tradisional dalam kalangan generasi berbeza.
Oleh Syafii Syazwan Jefri, Afwan Rostam
No comments:
Post a Comment