Penderhaka Raja-Raja Melayu Wajar Ditangani Secara Tuntas, Tanpa Kompromi – Penganalisis

 

img_8481

Faizul Abdul Ghani menegaskan, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai contoh, tidak wajar dipolitikkan kerana dikhuatiri menjejaskan kemuliaan dan kewibawaan Tuanku Muhriz selaku pemerintah yang sah.

JOHOR BAHRU, 18 Okt – Kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak asas kepada kedaulatan dan identiti negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Justeru, sebarang tindakan mencemarkan institusi terbabit dilakukan sesetengah pihak dengan cuba mengganggu gugat kewibawaan raja menggunakan media sosial wajar ditangani pihak berkuasa dengan tegas tanpa kompromi.

Seorang penganalisis meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak melakukan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu terutama terhadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Antara akaun-akaun palsu dijana ‘bot’ yang hanya mempunyai 1 hingga 4 pengikut menyerang Tuanku Muhriz di media sosial Threads pada 16 Oktober 2026.

Menurut Faizul Abdul Ghani, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai contoh, tidak wajar dipolitikkan kerana dikhuatiri menjejaskan kemuliaan dan kewibawaan Tuanku Muhriz selaku pemerintah yang sah.

“Sebarang tindakan pelucutan takhta tanpa proses mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 sudah pasti menjejaskan kestabilan negeri kerana jika tidak dicegah, ia mewujudkan duluan (precedence) berbahaya yang menjadikan takhta alat permainan kuasa pihak tertentu.

“Saya setuju dengan pandangan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang menegaskan tiada pengganti selagi takhta diduduki secara sah, serta menyatakan enam individu terbabit boleh dianggap melakukan penderhakaan,” katanya.

Foto bersejarah buat kesekian kali, Tuanku Muhriz murka terhadap Ismail Lasim di Masjid Karah Beting, Kuala Pilah pada 16 Oktober 2026. Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah

Beliau mengulas insiden pada 16 Oktober lalu apabila Tuanku Muhriz secara terbuka menegur Menteri Besar, Ismail Lasim kerana dilaporkan telah menghantar surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan baginda bukan lagi pemerintah negeri.

Namun, reaksi tersebut bertukar menjadi serangan terhadap Tuanku Muhriz pula apabila kewujudan akaun palsu di media sosial cuba memburukkan baginda dikesan sejak semalam.

Difahamkan polis sedang menyiasat tindakan 10 bekas exco selepas beberapa laporan dibuat mengenai tindakan mereka bersetuju menurunkan Tuanku Muhriz yang membawa kepada penarikan perkenan menggalas tugas berkenaan.

“Soal siapa sebenarnya penderhaka biarlah diputuskan melalui proses undang-undang yang adil dan telus. Tiada siapa boleh mendahului atau bertindak menghina malah menderhaka kepada Raja-Raja Melayu dalam apa cara sekali pun,” tegasnya lagi.

Semalam, media melaporkan Tuanku Muhriz sendiri mendedahkan bahawa Ismail telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan keputusan beliau bersama Exco kononnya sah dan baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Kemelut berkenaan merupakan isu pokok yang mencetuskan kemurkaan baginda walaupun Ismail mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos lalu namun bertindak mengkhianati baginda sehari kemudiannya.




No comments: