Hina Institusi Diraja: MCMC Rakam Percakapan Individu Bantu Siasatan

 


IMG_8483

MCMC telah merakam percakapan seorang individu disyaki melakukan penghinaan terhadap institusi diraja di Balai Polis Labu pada 18 Oktober 2026. Foto MCMC

CYBERJAYA, 18 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kandungan di platform media sosial Threads yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, kandungan dimuat naik individu berkenaan menyentuh isu berkaitan kedudukanYang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, MCMC telah merakam percakapan seorang individu di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan,” kata MCMC.

Kenyataan media MCMC yang disiarkan pada 18 Oktober 2026. Foto MCMC

Sehubungan itu, MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit berserta eSIM untuk tujuan analisis forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

MCMC turut meneliti aspek penyebaran kandungan berkenaan menerusi platform media sosial dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain yang memerlukan tindakan di bawah undang-undang berkuat kuasa.

“MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang serta menghormati institusi diraja.

“Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan yang sewajarnya,” kata kenyataan itu lagi.




No comments: