Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengecam tindakan membuli dan mengugut mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, selepas dia mempersoalkan kutipan derma untuk membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar denda mahkamah RM50 juta.
Fahmi berkata perbezaan pandangan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengherdik atau mengugut seseorang, termasuk ancaman untuk mencari mahasiswa itu di universiti.
Menurutnya, mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan selagi tidak melanggar undang-undang, justeru kebebasan itu perlu dihormati meskipun ada pihak yang tidak bersetuju.
“Kita boleh berbeza pandangan, tidak jadi masalah. Dalam kes adik Ummi ini, beliau menyuarakan pandangan dan kita tahu sekarang mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara.
“Maka, kita perlu raikan kerana ia tidak melanggar apa-apa undang-undang, malah tidak bersifat jenayah. Beliau hanya menegur perkara berkaitan jenayah rasuah,” katanya.
Fahmi berkata walaupun terdapat pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan nada atau cara Ummi Umairah menyampaikan pandangannya, perkara lebih penting ialah mesej yang cuba diketengahkan.
Menurutnya, pandangan mahasiswa itu mencerminkan keinginan untuk melihat Malaysia menolak kleptokrasi, selain menentang perbuatan menyamun, merompak dan rasuah.
Dalam satu forum terbuka bersama pemimpin Umno baru-baru ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu Najib melunaskan denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Kenyataannya mencetuskan perdebatan di media sosial, namun kritikan terhadapnya turut disertai serangan peribadi dan komen berbaur ugutan.
Sehubungan itu, Fahmi menggesa mangsa buli siber supaya segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan serta tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak terbabit.
Beliau berkata MCMC akan meneliti tindakan yang boleh diambil berhubung kes berkenaan dan tidak hanya menunggu laporan orang ramai sebelum bertindak.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut mengingatkan pengguna media sosial supaya menjaga adab ketika berkomunikasi, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Katanya, pengguna tidak seharusnya menganggap hantaran dalam talian bebas daripada implikasi undang-undang, termasuk apabila menggunakan akaun palsu.
Beliau berkata MCMC sedang menyiasat beberapa insiden tingkah laku tidak autentik terancang (CIB) yang menyasarkan Sultan Ibrahim dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Fahmi, lebih 2,000 kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau bersifat sangat jelik, selain 600 akaun palsu, dikenal pasti menghina Yang di-Pertuan Agong.
“Siasatan awal MCMC mendapati kebanyakan akaun palsu yang menyerang Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook dipercayai berasal dari luar negara dan siasatan masih dijalankan.
“Sekiranya kita mengenal pasti secara positif individu-individu tertentu, kita akan usaha untuk bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Bagi kes yang menyasarkan Tuanku Muhriz pula, Fahmi berkata beberapa akaun palsu dipercayai diwujudkan kira-kira sebulan lalu sebelum digunakan untuk mencetuskan perbincangan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.
Beliau berkata kewujudan akaun yang tidak mempunyai pengikut atau hanya mempunyai seorang pengikut menimbulkan syak bahawa ia diwujudkan untuk tujuan tertentu.
Sementara itu, kerajaan sedang meneliti keperluan memperkenalkan mekanisme kawal selia lebih tegas, termasuk proses Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (eKYC) dan pengesahan umur, bagi membanteras buli siber menerusi platform pesanan segera seperti WhatsApp.
Fahmi berkata WhatsApp menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk membuka akaun, namun penggunaannya masih menimbulkan cabaran keselamatan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, kerana komunikasi pada platform itu dilindungi penyulitan hujung ke hujung.
“Berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), pada waktu ini mod komunikasi seperti WhatsApp belum lagi terpakai.
“Jadi, saya akan minta pihak MCMC teliti dan berhubung dengan pihak Meta kerana mereka memperkenalkan WhatsApp, dan WhatsApp itu sendiri meletakkan had umur,” katanya.- Bernama.

No comments:
Post a Comment