KENYATAAN MEDIA PEMBATALAN PELANTIKAN AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI OLEH DYMM YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN ADALAH SAH DAN BERPERLEMBAGAAN



1. Merujuk 2 (dua) kenyataan media bertarikh 21 September 2026. Pertama, Kenyataan Media YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Kedua, kenyataan peguam Encik Emirul Sarifudin Nor Azmi yang disiarkan pada hari yang sama. Kedua-dua kenyataan media tersebut mendakwa bahawa pembatalan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 20 September 2026 adalah tidak sah. 


2. Pendirian jelas bahawa tindakan DYMM Tuanku Muhriz pada tarikh 20 September 2026 dibuat menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), adalah sah, dan berkuat kuasa sepenuhnya. Kenyataan media, sama ada oleh Menteri Besar atau mana-mana peguam, tidak mempunyai kesan undang-undang untuk membatalkan Titah Baginda. 


A. Barisan Exco dilantik 


3. YAB Menteri Besar mengangkat sumpah jawatan di hadapan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 2 Ogos 2026. Kesemua sepuluh Ahli MMKN berkenaan pula mengangkat sumpah di hadapan Baginda pada 7 Ogos 2026. Pelantikan mereka datang daripada perkenan Baginda. 


4. Proklamasi yang didakwa menurunkan Baginda bertarikh 19 April 2026, tersebut kekal tidak sah dan Baginda adalah kekal Yang di-Pertuan Besar. Pendirian ini yang ditetapkan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai dan 13 September 2026, dan yang dinyatakan oleh Kamar Jabatan Peguam Negara pada 17 September 2026. Dalam keadaan ini, mana-mana Ahli MMKN yang bertindak menyokong Proklamasi tersebut telah bertindak terhadap (derhaka kepada) Yang di-Pertuan Besar yang melantik mereka. 


5. Dalam apa jual hal keadaan, ahli-ahli MMKN berkenaan tidak boleh kekal dalam Majlis Kerajaan Negeri. Mereka tidak boleh berlindung dengan pelantikan oleh Baginda dalam masa yang sama menyokong dokumen menurun takhtakan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar. 


B. Perkara 38(5) UUTKNS Jelas Hak Baginda Tuanku Muhriz 


6. Perkara 38(5) memperuntukkan bahawa ahli MMKN selain Menteri Besar "shall hold office at the Ruler's pleasure", iaitu memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar. Peruntukan nyata tersebut tidak menyebut selama diperkenan oleh Menteri Besar. 


7. Teks Bahasa Melayu dalam Jawi dalam Bahagian Kedua UUTKNS adalah ditransliterasi berikut; 

(5) Dengan mengikut syarat-syarat ceraian (4), seseorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain daripada Menteri Besar adalah memegang jawatannya selama yang diperkenankan oleh Raja, melainkan pelantikan seseorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan itu telah dibatalkan oleh Raja atas nasihat Menteri Besar, tetapi siapa-siapa juga ahli Majlis itu bolehlah meletakkan jawatannya pada bila-bila masa. 


8. Penggubal UUTKNS sememangnya mempunyai hikmah dalam cara mensyaratkan nasihat Menteri Besar apabila nasihat MB itu dikehendaki. Perkara 38(2)(b) menyatakan bahawa pelantikan ahli MMKN dibuat "on the advice of the Menteri Besar". Perkara 39a(2)(c) pula menyatakan bahawa Setiausaha Politik kekal sehingga pelantikannya "determined by the Menteri Besar". Bagi tempoh jawatan ahli MMKN, perkataan yang dipilih ialah "at the Ruler's pleasure". Perkataan yang berbeza membawa makna yang berbeza. 


9. Perkara 38(5) juga menyediakan laluan pembatalan/pemecatan lantikan MMKN. Dalam bahasa mudahnya, "Seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain Menteri Besar memegang jawatannya untuk tempoh yang bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar iaitu (1) Yang di-Pertuan Besar boleh menarik balik perkenan Baginda pada bila-bila masa. Bagaimanapun, (2) pelantikan ahli itu juga boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Besar jika Menteri Besar menasihatkan sedemikian. Walau apa pun, (3) mana-mana ahli Majlis itu berhak meletakkan jawatannya sendiri pada bila-bila masa." 


10. Maka di sini boleh dilihat bahawa pembatalan lantikan ahli MMKN boleh berlaku dalam 3 keadaan iaitu:- 


1) Yang di-Pertuan Besar menarik perkenan Baginda (klausa pertama); 

2) Yang di-Pertuan Besar membatalkan atas nasihat Menteri Besar (klausa kedua); dan/atau 

3) Ahli Majlis itu meletakkan jawatannya sendiri pada bila-bila masa. 


11. Jika dilihat klausa 5 tersebut, satu-satunya had atau batasan yang diletakkan oleh penggubal ke atas Perkara 38(5) ialah frasa "Subject to Clause (4)". Fasal (4) hanya terpakai apabila Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri. Keadaan itu tidak berlaku. Hujah bahawa Perkara 38(4) menghalang tindakan Baginda adalah tidak relevan. 


C. Perkara 40 UUTKNS Tidak Menyokong Pendirian Menteri Besar 


12. Perkara 40(1) sendiri bermula dengan pengecualian: Raja bertindak atas nasihat "except as otherwise provided by... the State Constitution". Perkara 38(5) ialah peruntukan khusus yang terpakai dalam pegecualian daripada nasihat MB tersebut. Tambahan pula, nasihat dinyatakan menurut Perkara 40(1) ialah nasihat MMKN. Tafsiran Menteri Besar membawa kepada keadaan yang tidak munasabah, iaitu ahli-ahli MMKN yang tindakannya dipersoalkan menjadi penasihat dalam perkara yang melibatkan diri mereka sendiri. 


13. Perkara 40(2) pula dibuka dengan frasa "in addition to", jadi Pekara terkandung di dalam Perkara 40(2) adalah bukan senarai tertutup. Perkara 40(2)(d) meletakkan dalam budi bicara Raja apa-apa fungsi "relating to the custom of the Malays". Pertikaian berhubung Proklamasi 19 April 2026 ialah persoalan adat yang telah diputuskan oleh DKU. Menurut Perkara 16(3), nasihat DKU mengenai adat adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana mana mahkamah atas apa jua alasan. 


D. Sumpah Jawatan Di Hadapan Baginda Tuanku Muhriz 


14. Setiap ahli MMKN bersumpah di bawah Perkara 39 untuk memberi nasihat kepada "His Highness the Ruler" demi pentadbiran urusan awam Negeri. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka juga bersumpah untuk "preserve, protect and defend the Constitution of the State of Negeri Sembilan".  Seseorang tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Besar yang dinafikannya dan dalam masa yang sama, seseorang juga tidak boleh mempertahan Perlembagaan Negeri sambil menyokong dokumen proklamasi penurunan takhta DYMM Tuanku Muhriz (menurut Kamar Jabatan Peguam Negara sendiri telah gagal mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS). 


15. Dakwaan sesetengah pihak bahawa DYMM Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar namun pihak tersebut masih berhujah mengenai had kuasa Baginda Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar di bawah Perkara 40. Apabila pihak tersebut berhujah di bawah Perkara 40, pihak tersebut telah secara tersirat mengakui bahawa DYMM Tuanku Muhriz ialah Yang di-Pertuan Besar yang masih kekal takhta Baginda. 


E. Pentadbiran Negeri Diteruskan 


16. Titah Baginda tidak menyentuh jawatan YAB Menteri Besar. Baginda telah menitahkan YAB Menteri Besar mengemukakan senarai calon Ahli MMKN yang baru menurut Perkara 38(2). Pentadbiran Negeri tidak terhenti. YAB Menteri Besar adalah diseru menjunjung Titah Baginda. 


17. Titah Baginda kekal berkuat kuasa menzahirkan individu-individu yang pelantikannya telah dibatalkan tidak lagi memegang jawatan Ahli MMKN. Mana-mana keputusan yang dibuat atas nama jawatan itu selepas 20 September 2026 terdedah kepada cabaran undang-undang. Pegawai perkhidmatan awam Negeri wajar mendapatkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum bertindak atas arahan sedemikian. 


Rumusan


18. Tindakan DYMM Tuanku Muhriz mempunyai asas yang jelas pada Perkara 38(5) UUTKNS secara khusus menyentuh tempoh seseorang EXCO memegang jawatan serta pembatalan pelantikannya. Dengan penarikan perkenan sekaligus pembatalan pelantikan tersebut, pendirian pihak Tuanku adalah bahawa khidmat EXCO berkenaan telah tamat berkuat kuasa serta-merta. Dalam keadaan itu, keengganan MB mengemukakan senarai calon EXCO baharu untuk perkenan Tuanku boleh dilihat sebagai keengganan mematuhi keputusan dan arahan Baginda serta suatu tindakan yang serius terhadap hubungan perlembagaan antara MB dengan YDPB. Sebaliknya, pendirian MB bahawa EXCO lama masih sah adalah berdasarkan tafsiran MB sendiri terhadap Perkara 38(4), 38(5) dan 40(1) UUTKNS.


Sekian.


MUHAMMAD HARIZ BIN MD YUSOFF 

Peguam kepada Yang Teramat Mulia, 

Dato' Sedia Raja Haji Hassan bin Haji Ab Hamid 

Undang Luak Rembau Ke-22.

 

Tetuan Hariz Syakinah & Co. 

21 September 2026 bersamaan 9 Rabiulakhir 1448H


#harizsyakinahco

#undangrembau

#YTMDatoSediaRajaHjHassan

#tuankumuhriz






No comments: