Nepal Beri Jaminan Usaha Bantu Kesan Rakyat Malaysia – PM Anwar

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Nepal, Balendra Shah pada 22 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Sep – Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perbualan telefon pagi tadi sebelum beliau berlepas ke Shanghai, China bagi lawatan kerja tiga hari.

Menerusi hantaran di media sosial, Balendra menjelaskan keadaan semasa di negaranya susulan banjir berlumpur yang berlaku baru-baru ini masih rumit dengan skala bencana dan kemusnahan yang disifatkan umpama tsunami.

Bagaimanapun Anwar berkata, Balendra memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya, meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar.

“Sebelum berlepas ke China pagi tadi, saya sempat mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada Kerajaan serta rakyat Nepal atas bencana dahsyat yang melanda negara itu bulan lalu,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang telah bekerja keras dalam operasi mencari mangsa, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui.

Penduduk berbaris mendapatkan bekalan makanan di kawasan terjejas susulan bencana di Nepal pada 27 Ogos 2026.

“Dalam perbualan ini, saya menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.

“Saya turut membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan proses pencarian tidak dapat memberikan kepastian,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteru Kewangan berkata, langkah itu penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Shanghai bagi melakukan lawatan kerja tiga hari ke China pada 22 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan ini.

“Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan, terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui,” katanya.




No comments: